Perusahaan tidak beri maklumat kepada MyCC kini satu kesalahan jenayah

Armizan
Armizan
A
A
A

PUTRAJAYA – Mana-mana perusahaan yang enggan memberi kerjasama atau gagal mengemukakan maklumat kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi tujuan kajian pasaran bakal berdepan tindakan jenayah susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan baharu itu merupakan antara lima seksyen yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Persaingan bagi memperkukuh kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan MyCC.

Menurut beliau, ketetapan tersebut menetapkan tindakan kesalahan jenayah terhadap mana-mana perusahaan yang tidak memberi kerjasama dalam pemberian maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran di bawah Seksyen 11A.

"Ketetapan baharu ini akan memastikan proses kajian pasaran dapat dilaksanakan secara tuntas, telus dan berpaksikan data yang tepat supaya manfaat kajian itu mencapai objektifnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, secara keseluruhan pindaan Akta Persaingan melibatkan 34 pindaan terhadap 29 seksyen sedia ada serta pengenalan lima seksyen baharu yang bertujuan memperkukuh tindakan terhadap amalan antipersaingan.

Selain itu, katanya, pindaan tersebut turut memperkemaskan definisi persatuan perusahaan bagi mengelakkan ia disalahgunakan sebagai platform untuk bersekongkol mewujudkan aktiviti kartel atau memanipulasi pasaran.

"Kesemua pindaan ini juga menyasarkan perlindungan pasaran dan pengguna dapat diperluaskan, sekali gus membantu dalam menangani isu kos sara hidup rakyat," katanya.

Pada masa sama, Armizan berkata, pindaan itu turut memperkenalkan Seksyen 58A yang membolehkan MyCC memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya keputusan Suruhanjaya diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.

Beliau berkata, pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia 2010 (Akta 713) pula akan memperjelaskan kuasa Suruhanjaya termasuk kuasa perwakilan bagi melaksanakan fungsi-fungsinya dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan dengan pindaan pada peringkat jawatankuasa.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas Armizan mengemukakan pindaan kecil melibatkan Fasal 22 RUU itu.

Pada Khamis lepas, sebanyak 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan RUU itu yang kemudiannya diluluskan pada peringkat dasar.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!