Kejayaan Malaysia bergantung pada kualiti modal insan - Fadillah

KUALA LUMPUR - Kejayaan Malaysia pada masa depan bukan sahaja bergantung pada kekuatan ekonomi atau kemajuan teknologi tetapi turut ditentukan oleh kualiti modal insan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Isnin.
Beliau berkata, negara memerlukan individu yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia yang semakin saling terhubung.
"Dalam dunia sedemikian, kejayaan sesebuah negara tidak lagi ditentukan oleh kekuatan ekonomi atau kemajuan teknologi semata-mata,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa ADNI (AISC) 2026 di sini.
Fadillah berkata, cabaran masa depan, termasuk perubahan iklim, kesihatan awam, transformasi digital dan ketidaksamaan sosial tidak boleh ditangani secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, masyarakat sivil dan golongan belia.
Beliau berkata, Kerajaan Madani meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negara, selaras dengan prinsip yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada perpaduan dan sahsiah rakyatnya.
"Teknologi mungkin menghubungkan peranti kita tetapi hanya nilai bersama, sikap saling menghormati dan kepercayaan mampu menghubungkan masyarakat kita,” katanya.
Fadillah berkata, pembangunan sebenar mesti merangkumi pendidikan, kesejahteraan, etika, kreativiti, kemampanan dan perpaduan sosial.
Beliau ketika mengulas mengenai persidangan itu berkata ia turut mencerminkan semangat Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) menerusi usaha membentuk golongan muda yang memahami kepentingan pendidikan berkualiti, keterangkuman, institusi yang kukuh dan perkongsian strategik.
Menurut Fadillah, peluang untuk wacana intelektual dan interaksi merentas budaya amat penting dalam melahirkan individu yang berfikiran global serta mempunyai nilai dan jati diri yang kukuh.
Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa walaupun kecerdasan buatan mungkin menjadi semakin pintar, ia tidak dapat menggantikan kebijaksanaan manakala teknologi pula tidak mampu menggantikan belas kasihan.
AISC 2026 yang bertemakan Thriving Together: Diversity, Education and Wellness in a Digital World menghimpunkan kira-kira 150 pelajar tempatan dan antarabangsa, termasuk delegasi dari Thailand, Filipina dan Indonesia bagi bertukar-tukar pandangan serta mengukuhkan persahabatan dan kerjasama serantau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
