Harta berjuta-juta, mengapa waris masih terpaksa pinjam wang?

Soalan:
“Suami saya baru meninggal dunia akibat serangan jantung. Arwah meninggalkan beberapa buah rumah, simpanan bank, pelaburan ASB serta beberapa aset lain yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta. Suami tidak membuat sebarang wasiat.
Sehingga hari ini, saya tidak dapat mengeluarkan walau satu sen pun daripada akaun bank arwah kerana semuanya telah dibekukan. Saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membayar kos pengebumian, ansuran rumah, ansuran kereta, yuran pengajian anak-anak serta perbelanjaan harian keluarga.
Mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan arwah mempunyai banyak harta? Apakah langkah yang sepatutnya dilakukan bagi memastikan waris mempunyai sumber kewangan segera sementara menunggu urusan pusaka diselesaikan?”
Jawapan:
Ramai yang beranggapan bahawa seseorang yang meninggalkan harta bernilai jutaan ringgit sudah pasti menyediakan jaminan kewangan yang mencukupi kepada ahli keluarganya. Hakikatnya, tanggapan tersebut tidak semestinya benar. Ramai waris terpaksa menggunakan simpanan sendiri, meminjam wang daripada ahli keluarga atau rakan-rakan, malah ada yang terpaksa menangguhkan pembayaran komitmen bulanan walaupun si mati sebenarnya meninggalkan aset bernilai tinggi.
Situasi seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah, ia merupakan realiti yang sering berlaku apabila seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat. Hakikatnya, masih ramai yang gagal memahami perbezaan antara pemilikan harta dengan kecairan tunai. Walaupun si mati memiliki pelbagai aset seperti rumah, tanah, simpanan bank dan pelaburan, kebanyakan aset tersebut tidak boleh digunakan serta-merta oleh waris selepas berlaku kematian.
Harta alih seperti wang simpanan di bank akan dibekukan sebaik sahaja institusi kewangan menerima pengesahan kematian pemilik akaun. Begitu juga dengan harta tak alih seperti rumah dan tanah yang tidak boleh dipindah milik atau diuruskan sesuka hati sebelum proses pentadbiran pusaka disempurnakan.
Pembekuan aset ini bukan bertujuan menyusahkan waris. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme undang-undang bagi melindungi harta pusaka sehingga diserahkan kepada pihak yang benar-benar berhak menerimanya.
Sekiranya si mati meninggalkan wasiat yang sah, wasi yang dilantik perlu mendapatkan Geran Probet sebelum dapat melaksanakan amanah tersebut. Jika tiada wasiat, waris pula perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir sebelum diberi kuasa untuk menguruskan harta pusaka. Tanpa dokumen-dokumen tersebut, institusi kewangan dan agensi berkaitan tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan wang atau memindahkan hak milik harta si mati.
Dalam tempoh inilah cabaran sebenar bermula. Kehidupan waris tidak akan terhenti hanya kerana urusan pusaka masih berjalan. Ansuran rumah dan kenderaan tetap perlu dibayar. Bil utiliti terus berjalan. Anak-anak masih perlu meneruskan persekolahan atau pengajian di institusi pendidikan. Pada masa yang sama, waris juga perlu menyediakan kos untuk mendapatkan khidmat guaman serta menguruskan keseluruhan proses pentadbiran pusaka. Ironinya, ketika semua harta dibekukan, waris amat memerlukan wang tunai untuk meneruskan kehidupan.
Kesulitan yang dihadapi oleh pembaca sebenarnya boleh dikurangkan sekiranya arwah suami telah membuat wasiat semasa hayatnya sebagai sebahagian daripada perancangan harta yang menyeluruh. Melalui wasiat tersebut, beliau boleh melantik seorang wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan harta pusaka mengikut hasrat yang telah ditetapkan.
Selain melantik wasi atau pentadbir, penyediaan dokumen hibah harta juga boleh dijadikan salah satu instrumen perancangan harta yang berkesan. Harta yang dihibahkan secara sah semasa hayat pemilik tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Oleh itu, harta tersebut tidak perlu melalui proses pembahagian secara faraid dan boleh dipindahkan terus kepada penerima hibah mengikut kehendak pemberi hibah.
Pada pandangan saya, perancangan harta bukan sekadar menentukan siapa yang akan menerima harta selepas seseorang meninggal dunia. Sebaliknya, ia merupakan satu perancangan strategik yang memastikan urusan pentadbiran pusaka dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, di samping menjamin kebajikan serta kelangsungan hidup keluarga yang ditinggalkan.
Realitinya, waris amat memerlukan sumber kewangan sebaik sahaja berlaku kematian. Dalam tempoh menunggu urusan pentadbiran pusaka diselesaikan, mereka tetap memerlukan wang tunai bagi menampung kos pengurusan jenazah, perbelanjaan harian, komitmen bulanan serta kos pengurusan pusaka.
Di sinilah timbulnya satu lagi komponen yang sering diabaikan dalam perancangan harta, iaitu penyediaan sumber kewangan segera bagi membantu keluarga menghadapi tempoh peralihan sementara keseluruhan urusan pusaka diselesaikan.
Justeru, saya menyarankan agar setiap pemilik harta menyediakan satu dana kecemasan yang saya istilahkan sebagai 'Dana Pantas Waris' sebagai sebahagian daripada Pelan Perancangan Harta Menyeluruh. Dana ini berfungsi sebagai sumber kecairan tunai untuk membantu waris meneruskan kehidupan sementara keseluruhan urusan pentadbiran pusaka disempurnakan.
Penyelesaian terbaik
Salah satu instrumen kewangan yang boleh digunakan untuk menyediakan Dana Pantas Waris mengikut kemampuan dan keperluan seseorang ialah hibah takaful. Menerusi hibah takaful, manfaat akan dibayar dalam bentuk wang tunai kepada penerima hibah yang dinamakan oleh pemilik sijil semasa hayatnya.
Manfaat hibah takaful bukan merupakan sebahagian daripada harta pusaka si mati. Oleh itu, manfaat tersebut tidak perlu melalui proses pentadbiran pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian secara faraid. Wang tersebut menjadi hak mutlak penerima hibah sebagaimana yang dihasratkan oleh pemilik sijil semasa hayatnya.
Dalam konteks ini, hibah takaful memainkan peranan sebagai salah satu instrumen yang membantu menyediakan Dana Pantas Waris. Dana ini boleh digunakan untuk membayar kos khidmat guaman bagi menguruskan pusaka, menjelaskan ansuran rumah dan kenderaan, membayar yuran persekolahan atau pengajian anak-anak serta menampung perbelanjaan sara hidup keluarga sehingga keseluruhan urusan pusaka selesai.
Perlu ditegaskan bahawa hibah takaful bukanlah pengganti kepada wasiat, hibah harta atau hukum faraid. Sebaliknya, ia berfungsi melengkapkan Pelan Perancangan Harta Menyeluruh bagi memastikan proses pentadbiran pusaka berjalan dengan lebih teratur dan kebajikan waris terus terpelihara.
Natijahnya, pemilik harta yang benar-benar bijaksana bukan sekadar merancang bagaimana hartanya akan diagihkan selepas kematian. Sebaliknya, mereka turut memastikan keluarga mempunyai pelan pengurusan pusaka yang jelas serta sumber kewangan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh peralihan tersebut.
*Dr Anne Ismail ialah
Pengasas, Pennawaris Sdn. Bhd.
Ikon Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
