Bomba pujuk 'mak nyah' mahu terjun jejambat

Anggota JBPM memujuk mangsa sebelum menyerahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut.
Anggota JBPM memujuk mangsa sebelum menyerahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut.
A
A
A

IPOH – [DIKEMAS KINI] Cubaan seorang lelaki berperwatakan dan berpakaian wanita untuk terjun dari jejambat Jalan Bercham berhampiran di sini berjaya digagalkan orang awam dan pasukan menyelamat dalam kejadian pada pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.42 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan di tangan berjaya dipujuk sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, jentera tiba di lokasi pada jam 9.55 pagi dan mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun itu berada di jejambat berkenaan dalam cubaan untuk terjun.

"Ketua operasi melakukan penilaian seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan dengan memberi khidmat nasihat dan memujuk mangsa selama kira-kira 15 minit.

"Mangsa berjaya diselamatkan serta didapati mengalami kecederaan di tangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Difahamkan beberapa orang awam yang melihat kejadian turut membantu menghalang lelaki terbabit terjun dari atas jejambat berkenaan.

Sabarodzi berkata, hasil usaha memujuk itu, mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada petugas KKM untuk rawatan serta tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi terbabit melibatkan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) selain dibantu enam anggota polis dan dua petugas KKM.

Artikel Berkaitan:

Operasi berjaya dikawal pada jam 10.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!