Empat individu ditahan bunuh tapir dilindungi

JAKARTA – Polis Indonesia menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam pemburuan dan pembunuhan seekor tapir, haiwan dilindungi di kawasan Hutan Lindung 45, Mesuji Timur, wilayah Lampung.
Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Besar Polis Yuni Iswandari Yuyun berkata, penahanan itu dibuat hasil maklumat awam yang membawa kepada operasi dijalankan Polis Lampung bersama Polis Daerah Mesuji.
“Polis Lampung bersama Polis Mesuji bertindak pantas susulan maklumat daripada orang ramai sehingga berjaya menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam pembunuhan spesies tapir yang dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu turut dirampas bagi membantu siasatan.
Menurut Yuni, kejayaan membongkar kes tersebut membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah terhadap hidupan liar yang dilindungi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memburu atau membunuh spesies yang dilindungi, selain menggesa sebarang kegiatan seumpama itu dilaporkan segera kepada polis atau agensi berkaitan.
“Perlindungan terhadap hidupan liar dan pemeliharaan alam sekitar memerlukan kerjasama semua pihak.
"Penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah pemuliharaan merupakan langkah penting dalam memastikan kelangsungan biodiversiti Indonesia,” katanya.
Keempat-empat suspek disiasat mengikut Perkara 40A(1)(d) Undang-Undang Republik Indonesia No. 32 Tahun 2024 Pindaan Undang-Undang No. 5 Tahun 1990 mengenai Pemuliharaan Sumber Asli dan Ekosistem kerana disyaki memburu serta membunuh haiwan yang dilindungi.
Hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 15 tahun.
Kes itu mendapat perhatian meluas selepas rakaman pembunuhan tapir berkenaan tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai dan desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap pelaku.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

