Terima kasih kerana uruskan jenazah

KITA semua tersentuh hati dan marah dengan apa yang berlaku kepada Allahyarham Siti Adawiyah apabila urusan pengebumiannya mengalami kelewatan baru-baru ini.
Pada masa ini, sukar untuk kita ada satu jawapan sebenar tentang masalah yang melibatkan pihak masjid, persatuan yang menguruskan jenazah dan keluarga.
Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati, wujud penggunaan dokumen palsu dan kekeliruan melibatkan ahli keluarga, sementara waris pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak JAIS.
Kontroversi yang tercetus itu menyebabkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan keadaan dan meminta supaya JAIS memanggil semua pihak yang terlibat.
Jadi adalah lebih baik supaya kita semua tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi tentang perkara tersebut sehingga segala siasatan dapat diselesaikan dengan baik.
Tetapi tidak lama selepas kejadian itu, muncul pula satu lagi kejadian di Melaka mengenai perkhidmatan van jenazah di negeri ini didakwa menipu waris apabila mengenakan bayaran walaupun pada awalnya dikatakan menawarkan perkhidmatan itu secara percuma.
Disebabkan itu, Kerajaan Melaka mahu menambah baik garis panduan pengurusan perkhidmatan van jenazah membabitkan pengendali sukarelawan dan swasta, termasuk mewajibkan semua operator berdaftar bagi tujuan pemantauan serta mengelakkan berlakunya unsur penipuan terhadap waris.
Ini kerana hasil semakan awal mendapati perkhidmatan van jenazah yang dikaitkan dengan kontroversi itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta menjalankan urusan penghantaran jenazah dari hospital tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Disebabkan kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai mekanisme pendaftaran khusus bagi operator pengurusan jenazah, menyebabkan insiden berkenaan menjadi pengajaran untuk memperkemaskan sistem sedia ada supaya hanya pengusaha yang memenuhi syarat dibenarkan menawarkan perkhidmatan di hospital.
Urusan pengebumian di negara ini dianggarkan sekitar RM900 hingga RM1,500 yang meliputi kos seperti kain kafan (RM250), jurumandi (RM400), imam (RM100), pemandu van jenazah (RM100) dan sewaan van (RM100).
Bagi golongan yang tidak berkemampuan, kos untuk mengendalikan jenazah boleh dianggap tinggi bagi mereka dan cara yang paling mudah ialah menyertai skim khairat kematian selain mendapat bantuan daripada beberapa sumber.
Dan terkini ialah kewujudan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang membantu menguruskan jenazah secara percuma. Perkhidmatan ini dikatakan popular dan muncul ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Namun menurut satu sumber yang enggan dikenali mengatakan perkhidmatan tersebut sebenarnya bukanlah percuma dan bergantung kepada sumbangan orang ramai.
Disebabkan itulah, kata sumber itu, pertubuhan yang terlibat akan berusaha untuk mempromosikan aktiviti mereka supaya orang ramai dapat sama-sama menghulurkan bantuan.
Cuma adalah beberapa insiden yang agak tidak disenangi apabila ada individu yang cuba mempromosikan perkhidmatan dengan cara yang keterlaluan sehingga mendapat teguran daripada pihak berkuasa agama.
Bagaimanapun, saya secara peribadi ingin memberikan penghargaan kepada pertubuhan-pertubuhan yang ikhlas menjalankan tanggungjawab mereka menguruskan jenazah.
Dan dalam masa yang sama, insiden-insiden yang berlaku boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak untuk memastikan urusan fardu kifayah ini menjadi tanggungjawab kepada umat Islam dengan baik dan tertib.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
