KBS perkenal kerangka kemudahan sukan

Chee Keong menanam pokok sebagai simbolik lawatan ke Kompleks Sukan Komuniti Jerlun.
Chee Keong menanam pokok sebagai simbolik lawatan ke Kompleks Sukan Komuniti Jerlun.
A
A
A

JERLUN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan kerangka kemudahan sukan kebangsaan bagi mengelak pembinaan prasarana sukan dipengaruhi unsur politik.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ia juga bagi mengelak kemudahan sukan yang dibina menjadi projek gajah putih.

Menurutnya, hasil tinjauan ke beberapa negeri mendapati terdapat sebahagian kompleks belia dan sukan atau kompleks komuniti dibina tanpa mengikut keperluan dan permintaan masyarakat setempat, menyebabkan ia tidak digunakan secara optimum.

“Sebelum ini terdapat kemudahan sukan dibina tanpa ikut keperluan masyarakat setempat, kemungkinan atas permintaan politik, jadi kita akan keluarkan satu kerangka kemudahan sukan kebangsaan, dengan membuat penilaian secara objektif,” katanya.

Chee Keong berkata, antara aspek yang akan dinilai termasuk kepadatan penduduk, keperluan serta demografi bagi mengelak pemilihan secara rawak atau dipengaruhi politik.

“Memang ada dibina atas permintaan politik, apabila diselidik mendapati penggunaan rendah disebabkan lokasi jauh, dan dimaklumkan atas permintaan Adun atau Ahli Parlimen di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, kompleks sukan yang rendah penggunaannya atau diabaikan akan dikaji untuk pembangunan semula jika perlu.

“Kita melabur dengan kos tinggi untuk bina kemudahan belia dan sukan, bukan tak boleh bina di kawasan penduduk kurang padat, cuma kosnya perlu relevan selain lokasi sesuai. Ini supaya projek akan datang akan memaksimakan wang rakyat, bukan jadi gajah putih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Chee Keong juga mahu aspek penyelenggaraan kemudahan sukan diberikan perhatian.

“Kebanyakan tiada perancangan penyelengaraan, ada bumbung rosak tetapi tiada bajet untuk selenggara. Untuk masa depan, harus ada perancangan membina termasuk selenggara sekali agar kemudahan dapat dioptimum,” katanya.

Menurutnya, kerangka itu belum diperincikan namun pihaknya bersedia menerima input daripada Jabatan Belia dan Sukan negeri dalam memantapkan kerangka itu.

“Banyak aspek perlu diambil kira, antaranya, terdapat kompleks sukan tidak aktif di mana kajian semula akan dilakukan untuk kenal pasti keperluan di situ.

"Contohnya, jika belia kawasan itu mahukan gelanggang badminton, yang dibina gelanggang futsal, jadi kita nilai semula dan bina ikut permintaan masyarakat setempat,” katanya.

Chee Keong juga berharap pegawai sukan setiap daerah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik kunjungan agar menggunakan kemudahan disediakan.

“Pegawai harus proakrif mempromosi serta anjurkan aktiviti, termasuk hebahan berterusan untuk ajak orang ramai gunakan kemudahan ini,” katanya.