'Saya diugut bunuh, video dan gambar bogel disebar'

Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa buli siber oleh dua hos penstriman langsung jualan dalam talian. Foto hiasan
Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa buli siber oleh dua hos penstriman langsung jualan dalam talian. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Diugut untuk dipukul dan dibunuh, selain didakwa menjadi mangsa penyebaran gambar bogel serta pelbagai fitnah di media sosial.

Itu detik hitam yang dilalui seorang wanita yang enggan dikenali yang mendakwa menjadi mangsa buli siber oleh dua hos penstriman langsung jualan dalam talian.

Wanita tempatan berusia 30 tahun itu mendakwa kedua-dua lelaki terbabit, yang turut bergiat sebagai hos penstriman langsung, melakukan serangan peribadi terhadapnya dipercayai bagi meraih tontonan dan meningkatkan jumlah pengikut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sejak kira-kira lapan hari lalu sebelum dia tampil membuat laporan polis.

Katanya, dia dimaklumkan kedua-dua suspek yang dikenali sebagai ‘Mr W’ dan ‘Mr T’ telah ditahan polis pada Rabu bagi membantu siasatan.

"Dahulu saya pernah bekerjasama dengan ‘Mr W’ dalam siaran langsung menjual makanan laut dan produk herba.

"Bagaimanapun, selepas itu dia mendakwa saya menjual barangan pada harga terlalu rendah sehingga menjejaskan pasaran sebelum mengugut akan mencari orang untuk mengajar saya, termasuk mengeluarkan ugutan mahu memukul dan membunuh saya," katanya pada Khamis.

Menurutnya, dia turut difitnah kononnya menjalinkan hubungan dengan lelaki beristeri, menjalani kehidupan sosial tidak bermoral serta mempunyai hutang dengan ceti haram.

Malah katanya, pihak terbabit turut mendakwa memiliki gambar bogel dan video peribadinya sebelum gambar yang didakwa sebagai gambar bogel itu dihantar secara peribadi kepada pengikut mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya menegaskan wanita dalam gambar itu bukan saya, sebaliknya hanya mempunyai wajah seakan-akan saya.

"Malah, video yang didakwa juga tidak pernah wujud dan hanya tangkap layar semata-mata," katanya.

Mangsa berkata, dia percaya semua tuduhan itu sengaja direka bagi menjatuhkan maruahnya demi mendapatkan lebih banyak tontonan dan perhatian pengguna media sosial.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan ramai netizen mempercayai fitnah berkenaan sehingga ahli keluarganya turut menjadi mangsa ejekan di tempat awam.

Katanya, ‘Mr W’ hampir setiap malam mengadakan siaran langsung dengan menggunakan kata-kata menghina terhadapnya sebagai tajuk promosi bagi menarik penonton.

"Akibatnya, setiap kali saya bersiaran, ruangan komen dipenuhi kata-kata kesat dan serangan sehingga saya tidak lagi dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

"Saya juga terpaksa menghentikan siaran langsung sejak kira-kira tujuh hari lalu dan menganggarkan kerugian pendapatan sekurang-kurangnya RM70,000," katanya.

Tambahnya, tekanan berterusan itu menyebabkan dia hilang selera makan, sukar tidur serta mengalami kemurungan yang serius sehingga pernah terlintas untuk menamatkan riwayat hidup.

Bagaimanapun katanya, sokongan rakan-rakan memberi kekuatan untuk tampil membuat laporan polis bagi mempertahankan hak serta membersihkan namanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!