Malaysia sambut baik persefahaman antara AS, Iran - PM

KUALA LUMPUR - Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa bulan dan memuji peranan negara-negara Teluk, Turki, Pakistan dan lain-lain dalam memudah cara memorandum persefahaman tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prospek keamanan masih rapuh dan terdedah kepada sabotaj.
Beliau berkata, pematuhan ketat terhadap semua terma gencatan senjata dan pembukaan semula Selat Hormuz kepada kapal antarabangsa, kini perlu menjadi keutamaan segera.
"Harga makanan dan tenaga kekal tinggi berikutan negara lain berusaha untuk mendapatkan bekalan. Berbilion dolar yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan sosial dan ekonomi telah dialihkan kepada usaha untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Ini bukan sekadar statistik di atas kertas; ia memberi impak kepada kehidupan rakyat,” kata beliau dalam ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini pada Khamis.
Qatar dilaporkan memaklumkan bahawa Iran dan AS telah mencapai ‘kemajuan positif’ dalam rundingan tidak langsung yang berakhir pada Rabu, memberi tumpuan kepada Selat Hormuz, yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global sebelum konflik tersebut.
Forum selama tiga hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
