Bila musang king 'hilang' mahkota harga

MUSIM durian tahun ini memang lain macam. Kalau dulu musang king dianggap 'raja buah' eksklusif, sekarang keadaan sudah berubah.
Bayangkan varieti premium yang sebelum ini cecah sekitar RM70 hingga RM90 sekilogram kini ada tempat menjual serendah RM10 hingga RM15 sekilogram sahaja. Lebih mengejutkan, durian kampung yang biasanya jadi pilihan biasa pun kini turun harga sehingga sekitar RM1 hingga RM3 sekilogram.
Tidak hairanlah ramai tersenyum lebar musim ini. Gerai durian yang sebelum ini sekadar tempat orang 'cuci mata' atau sekadar tanya harga, kini bertukar menjadi lokasi wajib singgah.
Suasana di tepi jalan jelas berubah. Ada yang datang hanya untuk rasa sedikit, tetapi akhirnya pulang dengan beg plastik penuh durian. Kalau dulu beli durian dikira satu demi satu, sekarang sudah jadi kira bakul sekali gus.
Namun di sebalik suasana yang nampak seperti pesta durian murah, cerita di pihak pekebun dan pengusaha pula jauh berbeza. Mereka sebenarnya sedang berdepan tekanan agak berat.
Harga di peringkat ladang jatuh dengan ketara sedangkan kos operasi tetap tinggi dan tidak berubah. Baja, racun, upah pekerja, penjagaan kebun dan kos logistik masih perlu ditanggung seperti biasa.
Akibatnya margin keuntungan semakin mengecil, malah ada pekebun yang mula merasai hasil tuaian tidak lagi mampu menampung kos yang dikeluarkan.
Fenomena ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia berpunca daripada lambakan pengeluaran durian yang berlaku hampir serentak di banyak kawasan penanaman di seluruh negara termasuk Semenanjung dan Sarawak.
Keadaan cuaca yang baik dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah merangsang pokok durian mengeluarkan hasil yang tinggi. Namun dalam masa yang sama, ia menyebabkan musim penuaian berlaku hampir serentak di banyak tempat.
Situasi ini bertambah ketara apabila dilihat trend peluasan kawasan tanaman durian khususnya musang king sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Harga tinggi sebelum ini mendorong ramai pekebun baharu menceburi penanaman durian secara besar-besaran. Kini apabila pokok-pokok tersebut mencapai tahap matang serentak, hasil yang keluar terlalu banyak.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula mengambil langkah intervensi bagi menstabilkan semula pasaran. Fokus diberikan kepada usaha memperluaskan saluran jualan domestik serta membantu mengurangkan lebihan bekalan di peringkat ladang.
Langkah ini penting bagi mengelakkan harga jatuh lebih rendah sehingga menjejaskan kelangsungan pekebun kecil dan sederhana.
Namun begitu, dari sudut industri, ramai berpendapat penyelesaian jangka panjang tidak boleh bergantung kepada tindakan bermusim semata-mata. Industri durian perlu bergerak ke arah strategi yang lebih tersusun dan menyeluruh. Antara langkah penting ialah memperluaskan pasaran eksport, terutamanya ke negara yang mempunyai permintaan tinggi terhadap durian seperti China dan beberapa negara Asia lain.
Selain itu, pembangunan produk hiliran juga dilihat sebagai kunci utama mengurangkan tekanan lebihan bekalan. Durian tidak lagi boleh bergantung kepada jualan buah segar semata-mata.
Ia perlu dipelbagaikan kepada produk seperti pes durian, aiskrim, kek, biskut dan produk sejuk beku. Dengan cara ini, lebihan hasil dapat diserap ke dalam industri pemprosesan dan memberi nilai tambah lebih stabil.
Perubahan dalam cara pemasaran juga semakin ketara. Ramai peniaga kini menggunakan platform media sosial dengan membuat 'live' berniaga untuk menarik pelanggan. Kaedah ini membolehkan mereka menjual secara terus kepada pengguna tanpa terlalu bergantung kepada saluran tradisional.
Namun di sebalik peluang ini, terdapat segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjual durian yang tidak berkualiti atau sudah rosak kepada pelanggan. Perkara ini bukan sahaja merugikan pengguna, tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan terhadap keseluruhan industri jika tidak dibendung.
Kesimpulannya, musim durian tahun ini bukan sekadar cerita tentang harga yang murah atau pengguna yang gembira. Ia sebenarnya membuka satu gambaran lebih besar tentang keseimbangan dalam industri pertanian.
*Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
