X

Kindly register in order to view this article
!

Kompaun ingkar PKP masih kekal RM1,000: Ismail Sabri

Ismail Sabri mendengar pertanyaan pemberita ketika sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kompaun kepada individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih kekal pada kadar RM1,000 walaupun ada yang berpendapat ia terlalu rendah berbanding negara-negara lain.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah kompaun itu berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, sekiranya jumlah kompaun ingin dinaikkan, akta itu perlu dipinda di Parlimen.

"Setakat hari ini kompaun (RM1,000) adalah pada kadar tersebut. Namun begitu, polis mempunyai pilihan sama ada mengenakan kompaun atau membawa (pesalah ingkar PKP) ke mahkamah. Jika bawa ke mahkamah, hukuman denda atau penjara akan diputuskan oleh mahkamah.

"Selepas ini saya tidak tahu sama ada polis akan menggunakan budi bicara mereka. Jika kes tak besar mungkin hanya kompaun tetapi saya percaya hukuman kepada pesalah ini lebih kepada dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain kompaun, terdapat kes di mana individu bukan sahaja melanggar PKP, namun melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti menghalang tugas penjawat awam seperti melanggar sekatan jalan raya dan menyebabkan pasukan keselamatan mengalami kecederaan.

"Kesalahan seperti ini menyebabkan mereka ditahan dan dituduh di mahkamah. Hukumannya lebih berat dan itu di bawah kuasa mahkamah," katanya.

Menjawab persoalan mengenai isu kesesakan di penjara, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada polis dan Jabatan Penjara Malaysia.

"Soal pelaksanaan penjarakan sosial itu kita serahkan kepada polis dan Jabatan Penjara.

"Kita kena ingat bila dihadapkan ke mahkamah, ia bukan lagi kuasa polis sebaliknya kuasa mahkamah untuk menentukan hukuman," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!