X

Kindly register in order to view this article
!

1,220 individu ditahan ingkar PKP: Ismail Sabri

Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kawasan sekatan yang dilakukan di Kampung Sungai Lui Batu 21. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 1,220 individu pada hari ke-26 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengingkari peraturan tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 854 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala 345 individu direman dan 21 orang dijamin polis.

"Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sebanyak 2,156," katanya pada sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam telah mengadakan sebanyak 783 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 435,361 kenderaan.

"Sebanyak 48,123 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,158 premis telah diperiksa pihak berkuasa.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 11 April (semalam) ialah seramai 8,125 individu," katanya.

Mengulas mengenai Operasi Sanitasi Awam Covid-19, beliau berkata, sebanyak 1,413 operasi di 89 zon termasuk di 25 zon merah sejak 30 Mac lalu.

"Antara kawasan yang disanitasi ialah 987 bangunan kerajaan, 602 tempat awam, 599 pusat perniagaan dan 115 pasar raya.

"Semalam, sebanyak 122 operasi sanitasi meliputi 51 zon di 13 negeri termasuk 38 kawasan di Johor dan 23 kawasan di Pahang. Sebanyak 103 bangunan kerajaan, 37 tempat awam, 71 pusat perniagaan dan lapan pasar raya telah disanitasi," katanya.

Jelasnya, sebanyak satu Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 17 kawasan guna sama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor telah dinyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 38 PPR telah selesai disanitasi melibatkan 37,686 unit rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!