Durian Thailand 'laku keras' di TikTok
Jualan durian Thailand laris di TikTok Shop, kempen bersama Jabatan Perdagangan Dalam Negeri lonjakkan hasil niaga 'raja buah' itu lebih 10 kali ganda

BANGKOK - Jualan secara siaran langsung semakin menjadi platform penting bagi hasil pertanian Thailand dengan kempen bersama TikTok dan Jabatan Perdagangan Dalam Negeri (DIT) meningkatkan jualan durian di TikTok Shop sebanyak 10.6 kali ganda.
Program itu diwujudkan untuk menyokong jualan durian dari kawasan timur semasa musim tuaian 2026 di samping memperluas saluran jualan untuk petani, merangsang penggunaan domestik, dan memperbaiki pengedaran hasil pertanian melalui platform dalam talian.
Menurut TikTok, lebih 89,000 siaran langsung durian diadakan di TikTok Shop dalam tempoh tiga bulan pertama program itu.
Ia bersamaan dengan purata satu siaran langsung baharu setiap 1.4 minit, manakala setiap sesi berdurasi kira-kira 118 minit.
Ketika tempoh pengeluaran puncak, nilai dagangan kasar (GMV) durian meningkat 10.6 kali ganda berbanding purata jualan mingguan sebelum kerjasama itu bermula.
TikTok memaklumkan ekosistem platformnya memainkan peranan penting untuk capaian kempen itu memandangkan lebih daripada 1.8 juta pencipta kandungan menghasilkan video berkaitan produk di TikTok Shop.
Selain pencipta kandungan umum, petani dan pembuat kandungan tempatan turut menggunakan platform itu untuk mempromosikan dan menjual produk pertanian mereka secara langsung kepada pengguna.
Aktiviti berkenaan turut meningkatkan jumlah pembeli buah di TikTok Shop sebanyak 105 peratus tahun ke tahun manakala jumlah tempahan buah pada separuh pertama 2026 melonjak 134 peratus.
Hampir separuh daripada pembeli durian di platform itu kembali membeli semula, sekali gus menunjukkan peningkatan dalam pembelian berulang dalam kalangan pengguna.
Thailand dijangka mengeluarkan kira-kira 2.07 juta tan durian pada tahun ini dengan kira-kira 70 peratus daripadanya untuk eksport dan selebihnya bagi pasaran domestik.
Selepas musim durian di wilayah timur berakhir, TikTok dan DIT merancang untuk terus menyokong jualan durian dari selatan pula serta memperluas model tersebut kepada produk pertanian lain bagi membantu meningkatkan pendapatan petani. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

