KPT tawar geran penyelidikan khas pasca Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida terbuka kepada semua pensyarah universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca koronavirus (Covid-19).

KPT dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, penawaran geran penyelidikan jangka pendek itu adalah usaha kementerian itu dalam menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan terutamanya kementerian berkaitan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

Menurut KPT lagi, mereka mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf profesor madya.

“KPT akan memberikan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap penyelidikan yang dijalankan yang meliputi 20 bidang utama.

“Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan (food security). Setiap Kertas Cadangan Penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 3 orang,” kata kenyataan itu.

Permohonan geran penyelidikan khas ini akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian adalah selama enam bulan.

Selain itu, setiap hasil penyelidikan itu akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ianya sesuai untuk dilaksanakan di kementerian berkaitan.

“Makluman rasmi pembukaan geran tersebut boleh diakses melalui Malaysia Greater Research Network System (MyGRANTS),” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: