'Rindu pada anak hanya ALLAH yang tahu'

Gambar ketika masih dibenarkan menjaga anaknya. Gambar kanan: Norzilawati
Gambar ketika masih dibenarkan menjaga anaknya. Gambar kanan: Norzilawati
A
A
A

KUANTAN - "Rindu saya pada Alif hanya ALLAH yang tahu," luah seorang ibu terhadap nasib anaknya yang kini masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan bulan lalu.

Norzilawati Mustafha, 40, yang juga suri rumah dari Merapoh Kuala Lipis berkata, anaknya bongsunya, Muhamad Alif Farhan, 7, masih berada di Unit Rawatan Rapi ICU Hospital Kubang Kerian selepas menjalani pembedahan mengeluarkan cecair dari dalam kepala.

Menurutnya, rawatan menggunakan antibiotik terhadap anaknya turut melibatkan kos RM800 sekali rawatan.

"Anak saya mempunyai masalah jantung berlubang sejak kecil. Sebelum ini dia telah menjalani dua kali pembedahan jantung di Institut Jantung Negara.

"Pada bulan lepas, anak saya telah terkena sawan yang teruk dan dimasukkan ke Hospital Kuala Krai.

"Anak saya telah menjalani CT Scan sebanyak dua kali, namun sawannya masih berlaku. Pihak hospital telah merujuk kes anak saya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu bagi pemeriksaan MRI dan dua kali air tulang belakangnya diambil.

"Setelah keputusan diketahui, anak saya rupanya telah dijangkiti kuman di jantungnya hingga ke kepala. Itu yang dia kena jalani pembedahan buang cecair di Hospital Kubang Kerian," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu menyebabkan dia sekeluarga berdepan masalah kewangan apatah lagi suaminya, Radzali Nawi, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah terjejas teruk pendapatannya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ketika ini, dia dan suami terpaksa bergilir-gilir menjaga anak bongsunya itu di hospital sambil memberitahu Muhamad Aliff turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sejak kecil.

"Semalam doktor beritahu jika Alif sedar, percakapannya tak sefasih dulu. Setakat ini dia belum sedar sepenuhnya," katanya.

Mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Norzilawati sekeluarga, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 06006-41-00004033-4 atau talian 013-7631032.