X

Kindly register in order to view this article
!

1,095 individu ditahan ingkar PKP: Ismail Sabri

A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 1,095 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan jumlah tersebut lebih tinggi berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 815 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala 242 individu direman dan 38 orang dijamin polis.

"Semalam, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 779 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 490,249 kenderaan.

"Sebanyak 47,949 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,028 premis diperiksa pihak berkuasa," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sejak 18 Mac sehingga semalam ialah seramai 7,759 individu, manakala seramai 373 dituduh di mahkamah kerana ingkar arahan PKP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Sanitasi Awam Covid-19 yang dilaksanakan adalah di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan dan mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu telah melakukan 1,291 operasi sanitasi di 85 zon termasuk 24 zon merah dan 61 zon kuning.

"Operasi memberi keutamaan kepada lokaliti kes berdasarkan bilangan kes Covid-19 terkini. Antara kawasan yang disanitasi ialah 884 bangunan kerajaan, 565 tempat awam, 528 pusat perniagaan dan 107 pasar raya," katanya sebagai mengulas kritikan pihak tertentu terhadap pelaksanaan tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 166 operasi sanitasi meliputi 60 zon di 12 negeri termasuk 46 kawasan di Johor dan 26 kawasan di Pahang semalam.

"Sebanyak tiga Program Perumahan Rakyat (PPR) di nyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 37 PPR selasai disanitasi melibatkan 36,870 unit rumah," katanya.

Menyentuh soal pengurusan pusat kuarantin, beliau berkata, setakat semalam sebanyak 156 Pusat Kuarantin sudah beroperasi berbanding 146 pada hari sebelumnya.

"Ia melibatkan 11,445 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib. Semalam juga 386 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus