Disyaki amang seksual bekas murid lelaki, guru direman tujuh hari

Seorang guru lelaki direman tujuh hari bermula Ahad hingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap bekas murid lelakinya yang kini berusia 13 tahun. Foto hiasan
Seorang guru lelaki direman tujuh hari bermula Ahad hingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap bekas murid lelakinya yang kini berusia 13 tahun. Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang guru lelaki direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap bekas murid lelakinya yang kini berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan di kediamannya di sebuah daerah di negeri ini pada Ahad.

Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, seorang pelajar sekolah menengah, pada jam 9.38 pagi hari sama.

“Permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi tempoh tujuh hari bermula 15 Jun hingga 21 Jun ini.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 4 Jun lalu di sebuah hotel di bandar raya ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa mendakwa dicabul secara fizikal oleh suspek yang dikenalinya.

Menurutnya, suspek merupakan guru kepada pengadu ketika mangsa belajar di sekolah rendah.

Azli berkata, kes disiasat di bawah beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu Seksyen 14(a), Seksyen 14(d) dan Seksyen 15B(b).

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, selain boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun mengikut peruntukan berkaitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Azli mendedahkan empat kertas siasatan membabitkan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dibuka oleh Polis Kuala Terengganu dalam tempoh 1 hingga 14 Jun lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka dan memainkan peranan aktif dalam melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

“Ibu bapa perlu memberikan didikan awal kepada anak-anak mengenai gangguan seksual selain sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti harian mereka bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!