Polis Kelantan kesan dua lelaki, siasat kes culik dua individu berkaitan hutang dadah dan PATI

Polis Kelantan sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam kes penculikan dua individu bersabit hutang berjumlah RM33,000 melibatkan kegiatan penyeludupan PATI dan sindiket dadah. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Polis Kelantan sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam kes penculikan dua individu bersabit hutang berjumlah RM33,000 melibatkan kegiatan penyeludupan PATI dan sindiket dadah. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Polis Kelantan sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam kes penculikan dua individu berkaitan hutang berjumlah RM33,000 yang melibatkan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sindiket dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai Hamzah Muhamad, 40, dan Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar @ Mamat, 32, yang kini dipercayai berada di negara jiran.

Menurut beliau, pihaknya telah mengeluarkan status orang dikehendaki terhadap mereka selain mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kedua-dua lelaki berkenaan.

"Kita percaya suspek utama kes penculikan ini masih berada di Thailand berdasarkan pemantauan yang dijalankan.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua mereka mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkait dengan jenayah dan narkotik," katanya semasa sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, kes tersebut terbongkar selepas polis menerima laporan daripada isteri salah seorang mangsa pada 6 Jun lalu yang mendakwa suaminya dilarikan oleh beberapa individu dari rumah.

Ujarnya, kes penculikan itu membabitkan seorang lelaki berusia 51 tahun yang merupakan pemilik bengkel dari Tumpat serta mempunyai 24 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Mohd Yusoff, seorang lagi mangsa merupakan seorang buruh dari Pasir Mas berusia 35 tahun, manakala kedua-dua mereka merupakan sahabat kepada penghutang.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya telah melancarkan Ops Tutup dengan bantuan Bukit Aman bagi mengesan pergerakan suspek dan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dipercayai telah dibawa masuk ke Thailand menggunakan pangkalan haram.

"Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand, kedua-dua mereka berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada 8 Jun selepas ditinggalkan di tepi jalan di Mundok sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Ujar beliau, individu yang mempunyai hutang berkenaan gagal dikesan menyebabkan suspek bertindak menculik dua lelaki tersebut sebagai cagaran bagi memberi tekanan supaya hutang berkenaan diselesaikan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, salah seorang suspek telah bertindak membakar sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan dalam penculikan berkenaan bagi menghapuskan bahan bukti, yang dilakukan di Gelang Mas, Pasir Mas.

Menurutnya, bagi membantu siasatan, pihaknya telah menahan lima individu termasuk penghutang berusia 25 tahun serta teman wanitanya yang berusia lingkungan 20-an, dan kesemua mereka direman sehingga 22 Jun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!