Neville dakwa FIFA sembunyi bukti VAR selepas penalti kontroversi Switzerland

Tangkap layar yang kini tular di media sosial memaparkan situasi sebelum penalti diberikan kepada Switzerland menunjukkan pemain Switzerland berada dalam kedudukan ofsaid. Foto: Agensi
Tangkap layar yang kini tular di media sosial memaparkan situasi sebelum penalti diberikan kepada Switzerland menunjukkan pemain Switzerland berada dalam kedudukan ofsaid. Foto: Agensi
A
A
A

GARY Neville melancarkan kritikan keras terhadap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan mendakwa badan bola sepak dunia itu bersikap seperti diktator susulan keputusan kontroversi video bantuan pengadil (VAR) dalam perlawanan Switzerland menentang Qatar di Piala Dunia 2026.

Kontroversi tercetus apabila Switzerland diberikan sepakan penalti selepas Remo Freuler dijatuhkan penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada di Stadium San Francisco Bay Area.

Namun, rakaman ulang tayang menunjukkan Freuler didakwa berada dalam kedudukan ofsaid sebelum insiden tersebut berlaku.

Walaupun VAR membuat semakan, keputusan penalti tetap dikekalkan dan Breel Embolo menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Switzerland di hadapan.

Isu timbul apabila FIFA tidak mengeluarkan sebarang bukti visual atau sudut kamera tambahan bagi menyokong keputusan VAR tersebut, walaupun teknologi ofsaid separa automatik digunakan dalam kejohanan ini.

Bercakap di studio ITV, Neville meluahkan rasa tidak puas hati terhadap FIFA.

“Kita semua nampak benda yang sama. Kenapa mereka tidak tunjuk bukti itu kepada kita?

“FIFA ada semua data tetapi mereka tidak dedahkan. Ini hanya menambah ketidakpercayaan terhadap mereka.

“Bagi saya, ini tidak masuk akal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Neville turut menyifatkan tindakan FIFA sebagai tidak telus dan menimbulkan persoalan besar terhadap penggunaan teknologi dalam perlawanan.

Bekas pemain England, Ian Wright dan Duncan Ferguson yang turut berada dalam studio turut bersetuju bahawa Freuler kelihatan berada dalam posisi ofsaid berdasarkan pandangan mata kasar.

FIFA sebelum ini mempertahankan penggunaan teknologi ofsaid separa automatik yang menggunakan kamera berkelajuan tinggi untuk menjejak pergerakan pemain serta sistem analisis AI bagi membantu keputusan pengadil.

Namun, perdebatan mengenai ketelusan sistem itu terus hangat selepas insiden berkenaan.

Perlawanan tersebut akhirnya menyaksikan Qatar bangkit pada masa kecederaan apabila Boualem Khoukhi menanduk gol penyamaan untuk mengikat Switzerland 1-1, sekali gus menutup aksi penuh kontroversi itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!