Yayasan LTAT perluas peluang TVET kepada keluarga tentera

Peserta yang hadir pada program berkenaan.
Peserta yang hadir pada program berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus memperluaskan akses pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada komuniti tentera menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya.

Inisiatif itu diketengahkan melalui Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT dan Taklimat Kemahiran Keluarga Tentera 2026 di Kem Desa Pahlawan yang menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak warga tentera.

Menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), program berkenaan memberi tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga ATM.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK, Ts Abdul Razak Sabtu berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada ahli BAKAT dan keluarga tentera mendapatkan maklumat mengenai kursus kemahiran, pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan melalui rangkaian politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

Peserta yang mempelajari kemahiran membuat kuih.
Peserta yang mempelajari kemahiran membuat kuih.

“Pada masa sama, JPPKK dapat memahami keperluan sebenar komuniti ATM supaya kursus yang ditawarkan kekal relevan dan mampu membantu meningkatkan kemahiran serta penjanaan pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Mohamad Nizam Abdul Manap berkata, sambutan program tahun ini lebih memberangsangkan berbanding penganjuran tahun lalu.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi pembangunan diri, malah membuka peluang kepada keluarga tentera menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

“Hasil program tahun lalu, terdapat ahli BAKAT yang berjaya memanfaatkan kursus kolej komuniti untuk memperoleh kemahiran baharu sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!