Tak sangka mimpi rumah terbakar jadi nyata...

Gambar atas, kejadian kebakaran di Kampung Kok Pasir malam tadi. Gambar bawah, Aminuddin bersama anaknya memeriksa buku teks yang terbakar.
Gambar atas, kejadian kebakaran di Kampung Kok Pasir malam tadi. Gambar bawah, Aminuddin bersama anaknya memeriksa buku teks yang terbakar.
A
A
A

TUMPAT - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Kampung Kok Pasir terbakar malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam, Malisa Ahmad, 24, sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama anak bongsunya, Remy Iskandar Aminuddin, 3.

Malisa berkata, dia menyedari kebakaran itu apabila anak keduanya, Remy Hakimi, 5, yang sedang makan nasi di dapur memberitahu nampak api di dalam bilik tidur.

"Saya terus masuk ke dalam bilik tidur tersebut.

"Memang terkejut melihat api membakar tilam yang tidak diketahui puncanya. Saya cuba memadam kebakaran itu, saya ke dapur untuk ambil air dan apabila ke bilik tersebut api sudah marak," katanya yang mempunyai tiga anak.

Malisa berkata dia terus menyelamatkan diri bersama dua anaknya itu serta sempat mengheret keluar tong gas khuatir ia meletup.

"Motosikal di garaj sempat saya alihkan namun terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan beg, pakaian sekolah anaknya," katanya.

Ketika kejadian suaminya, Aminuddin Ibrahim, 39, kelindan lori ke Terengganu dan anak sulungnya, Remy Junaidi, 9, ke kelas mengaji al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Malisa berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka mimpinya tentang rumah terbakar kelmarin menjadi realiti.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.01 malam.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.