Syurga tersembunyi di Kuala Krai


Lokasi riadah yang dikelilingi pokok redup menjadikan kawasan ini pilihan pengunjung.
Lokasi riadah yang dikelilingi pokok redup menjadikan kawasan ini pilihan pengunjung.
A
A
A

KUALA KRAI – Deruan air yang mengalir tenang di celah batuan berlapis di Lata Rek seolah-olah menjadi terapi semula jadi buat pengunjung yang mencari ketenangan jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Terletak di daerah Kuala Krai, lokasi ini terus memikat hati dengan airnya yang jernih, suasana kampung yang damai serta keindahan alam yang masih terpelihara.

Bagi Wan Zamri Wan Non, 35, yang bekerja di Johor, kunjungan ke sini bersama isterinya, Siti Sarah Hassan, 34, menjadi rutin setiap kali pulang ke kampung ibu mentuanya.

Katanya, Lata Rek mempunyai tarikan tersendiri yang sukar ditandingi lokasi lain.

“Air di sini jernih, suasananya pula tenang seperti kampung dahulu.

“Anak-anak pun sangat suka kerana kawasan ini sesuai untuk mandi. Tidak terlalu dalam, namun tetap perlu dipantau,” katanya kepada Destinasi Sinar.

Wan Zamri
Wan Zamri

Menurutnya, dua anak mereka yang berusia tujuh dan lima tahun gemar bermain air di kawasan cetek yang mengalir perlahan, selain menikmati kesejukan air walaupun pada waktu tengah hari.

Artikel Berkaitan:

“Datang ke sini memang seronok. Tengah hari pun air masih sejuk.

“Pada waktu petang lebih menyeronokkan,” ujarnya.

Keunikan struktur batuan

Sementara itu seorang penduduk, Mat Daud Zakaria, 70, berkata, keunikan Lata Rek terletak pada struktur batuannya yang terbentuk secara semula jadi sejak dahulu lagi.

“Batu di sini bukan dibina manusia, sebaliknya terbentuk secara semula jadi.

“Air Sungai Rek mengalir berlapis-lapis kerana mempunyai banyak tingkat,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu mula didiami keluarganya sekitar 1967 apabila mengikuti arwah bapanya, Zakaria Che Soh, berpindah ke situ.

“Dahulu hanya terdapat jalan balak, tanah merah dan berlubang.

“Apabila sudah ada jalan berturap, semakin ramai orang datang, namun sungai ini tetap sama, jernih seperti dahulu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan air di Lata Rek tidak mengalami fenomena kepala air seperti sesetengah kawasan air terjun lain.

Sebaliknya arus menjadi deras disebabkan bentuk muka bumi bertingkat.

“Air datang dari Gunung Kambing di sempadan Kelantan dan Terengganu.

“Kalau musim kemarau, air lebih jernih. Tetapi, jika paras air tinggi, tidak boleh mandi,” pesannya.

Mengimbau kehidupan lampau, Mat Daud berkata, penduduk pernah menetap di bangsal sederhana dan menggunakan batang kayu besar sebagai titi untuk menyeberangi sungai ketika musim kemarau.

“Musim kemarau boleh dibuat, tetapi apabila banjir semua hanyut. Dahulu kami juga guna rakit buluh,” katanya.

Bagi Siti Marliana Nasuha, 43, seorang penjawat awam dari Kampung 10, Lata Rek pilihan utama untuk membawa empat anaknya beriadah terutama ketika cuti sekolah.

“Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit dan kami memilih tempat ini kerana airnya bersih, jernih serta batu-batunya kecil.

“Tempat lain seperti Jeram Pasu atau Jeram Linang tidak sejernih di sini,” jelas beliau.

Siti Marliana memilih berkelah di Lata Rek bagi menghilangkan penat bekerja.
Siti Marliana memilih berkelah di Lata Rek bagi menghilangkan penat bekerja.

Menurutnya, suasana di situ juga lebih selesa kerana tidak terlalu sesak dan memberi ruang kepada keluarga menikmati masa bersama.

“Kita datang ke sini perlu menjaga kebersihan dan tidak meninggalkan sampah.

“Kebiasaannya kami bawa bekalan sendiri dan mengutip semula sampah untuk dibuang di tempat yang disediakan,” katanya.

Tambahnya, kemudahan asas seperti tandas turut menjadikan kawasan itu mesra keluarga.

Keindahan semula jadi Lata Rek yang kekal terpelihara hasil kesedaran pengunjung dan penduduk menjadikan destinasi ini terus relevan sebagai lokasi riadah pilihan.

Keindahan Lata Rek mungkin tidak dapat digambarkan sepenuhnya menerusi foto kerana pesona sebenar hanya dapat dirasai apabila berada di hadapan aliran airnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!