Fasa ketiga pelepasan kargo pelabuhan pada 13-15 April ini

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan akan meneruskan fasa ketiga proses pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan utama negara pada 13 hingga 15 April ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, ini bagi memastikan tiada isu kesesakan di semua pelabuhan utama negara berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020 sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

"Kerja-kerja pelepasan kargo fasa ketiga ini adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan sebelum ini untuk rujukan pengendali-pengendali pelabuhan berkaitan serta diperluaskan kepada Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Padang Besar yang bersempadan dengan Thailand.

“SOP sama turut dikongsi kepada pelabuhan-pelabuhan milik kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ka Siong, kerja-kerja pelepasan kargo sebelum ini telah dijalankan pada akhir Mac dan awal April 2020 yang terbukti berkesan dalam usaha mempercepatkan pergerakan kargo di pelabuhan-pelabuhan yang sesak.

"Pergerakan kargo ke destinasi akhir adalah sangat penting bagi memastikan rantaian bekalan barangan keperluan asas kepada rakyat tidak terganggu sepanjang tempoh PKP," katanya.

Malah kata beliau, ruang kapasiti di pelabuhan-pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Johor menghampiri tahap maksimum dan jika tidak ditangani segera boleh membantutkan pembekalan barangan keperluan ke seluruh negara.

Pelepasan barangan itu juga selari dengan Peraturan-Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2020 sejak PKP Fasa Kedua dikuatkuasakan pada 1 hingga 14 April, 2020.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, fasa kedua operasi pelepasan kargo sebelum ini menunjukkan kesesakan bahagian import di kebanyakan pelabuhan mencatat penurunan ruang kapasiti sebanyak 40 hingga 60 peratus.

"Hanya ruang kapasiti di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang (Barat) sahaja masih di tahap tinggi iaitu hampir 70 peratus," katanya.

Statistik menyeluruh bahagian eksport di pelabuhan adalah lebih rendah iaitu 40 peratus daripada ruang kapasiti maksimum, katanya.

Menurutnya, kementerian itu akan terus mengawasi kesesakan di pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara semasa tempoh PKP dan akan menggandakan operasi pelepasan kargo sekiranya perlu berbuat demikian.

"Kementerian juga sentiasa berhubung dengan pemain-pemain industri termasuk pengendali pelabuhan, pengangkut barangan, syarikat pengangkutan dan pelbagai pihak lain dalam urusan logistik serta pengangkutan untuk memastikan kelancaran operasi seluruh sektor," katanya. - Bernama