Kazakhstan perkenal pembedahan ortopedik robotik bertaraf dunia

Kazakhstan perkenal pembedahan ortopedik robotik bertaraf dunia. Gambar hiasan
Kazakhstan perkenal pembedahan ortopedik robotik bertaraf dunia. Gambar hiasan
A
A
A

ASTANA - Hospital di Pusat Perubatan Pentadbiran Presiden Kazakhstan mula melaksanakan pembedahan ortopedik menggunakan sistem robotik Mako, antara teknologi paling canggih dalam bidang traumatologi dan ortopedik dunia, lapor agensi berita Qazinform.

Diiktiraf sebagai peneraju dalam pembedahan robot pembantu, sistem itu digunakan secara meluas di klinik-klinik terkemuka di Amerika Syarikat dan Eropah.

Sehingga kini, lebih 1.5 juta pembedahan di seluruh dunia telah dijalankan menggunakan teknologi berkenaan.

Keberkesanan dan keselamatannya turut disokong oleh lebih 500 kajian saintifik, selain digunakan di lebih 45 negara, menjadikannya antara sistem ortopedik yang paling banyak dikaji dan terbukti keberkesanannya.

Sebelum pembedahan dijalankan, model tiga dimensi (3D) yang diperibadikan mengikut keadaan sendi pesakit akan dibangunkan bagi membolehkan pakar bedah merancang setiap perincian prosedur dengan lebih tepat.

Semasa pembedahan, robot tersebut membantu mengawal pergerakan instrumen pembedahan bagi memastikan ketepatan yang tinggi, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan pemasangan implan serta meminimumkan kerosakan pada tisu lembut.

Pendekatan itu menjadikan prosedur lebih selamat, menghasilkan keputusan yang lebih konsisten dan mempercepatkan tempoh pemulihan pesakit.

Kajian antarabangsa menunjukkan penggunaan sistem berkenaan meningkatkan ketepatan pemasangan implan, mengurangkan trauma pada tisu dan risiko komplikasi, memendekkan tempoh rehabilitasi serta membolehkan pesakit kembali menjalani aktiviti harian dengan lebih cepat.

Selain itu, teknologi tersebut turut meningkatkan kualiti rawatan keseluruhan yang diterima pesakit.

Artikel Berkaitan:

Pakar traumatologi hospital berkenaan telah menjalani latihan khusus dan kini mula melaksanakan pembedahan menggunakan sistem robotik tersebut.

Kazakhstan sebelum ini turut melancarkan penggunaan teknologi pembedahan pintar generasi baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!