Isu Rohingya: Antara tuntutan kemanusiaan dan masa depan negara

ISU kehadiran etnik Rohingya di Malaysia bukanlah polemik baharu. Sebaliknya, ia telah berlarutan sejak hampir tiga dekad lalu dan terus menjadi perdebatan antara tuntutan kemanusiaan dan kepentingan negara.
Berdasarkan laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia sekitar 30 tahun lalu dianggarkan hanya kira-kira 10,000 orang.
Namun, angka itu meningkat secara mendadak sehingga melebihi 200,000 orang pada masa ini, termasuk mereka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang tidak memiliki dokumen rasmi.
Peningkatan tersebut menunjukkan pertumbuhan hampir 20 kali ganda dalam tempoh tiga dekad, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju isu berkenaan pada masa hadapan.
Data yang dipaparkan dalam infografik Sinar Harian hari ini menunjukkan bahawa sehingga Februari 2026, seramai 126,144 pelarian Rohingya telah berdaftar secara rasmi dengan UNHCR.
Angka itu turut memperlihatkan jurang yang ketara antara jumlah pelarian yang direkodkan secara rasmi dengan anggaran keseluruhan populasi Rohingya yang berada di negara ini.
Bagi memahami isu tersebut secara menyeluruh, faktor yang mendorong penghijrahan etnik Rohingya dari Myanmar perlu dilihat daripada perspektif komuniti itu sendiri.
Antara faktor utama ialah dasar kerajaan Myanmar yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara. Keadaan itu menyebabkan majoriti mereka hidup tanpa kerakyatan atau 'stateless'.
Situasi berkenaan mengakibatkan mereka berdepan pelbagai bentuk diskriminasi, termasuk sekatan terhadap akses pendidikan, peluang pekerjaan, kebebasan bergerak dan perkhidmatan asas.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila wilayah Rakhine dilanda konflik bersenjata dan keganasan yang mengorbankan nyawa, mencederakan penduduk serta memusnahkan harta benda.
Pelanggaran hak asasi manusia, termasuk penahanan sewenang-wenangnya, turut menjadi antara faktor yang memaksa mereka meninggalkan tanah air.
Akibatnya, ramai dalam kalangan etnik Rohingya mencari perlindungan di negara jiran seperti Bangladesh, Malaysia, Indonesia dan Thailand demi kelangsungan hidup yang lebih selamat.
Namun, di sebalik simpati terhadap nasib yang menimpa komuniti tersebut, peningkatan jumlah mereka di Malaysia turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Pertambahan populasi yang berterusan dilihat memberi tekanan kepada kapasiti negara, khususnya dari segi peluang ekonomi, pasaran pekerjaan dan penggunaan kemudahan awam.
Lebih membimbangkan, kehadiran komuniti Rohingya kini tidak lagi dilihat sebagai bersifat sementara apabila sebahagian daripada mereka telah membina kehidupan yang lebih kekal di negara ini.
Perkembangan itu turut menyaksikan kemunculan generasi kedua dan ketiga yang membesar di Malaysia tanpa status kewarganegaraan yang jelas.
Keadaan tersebut mewujudkan dilema sosial dan perundangan yang kompleks serta memerlukan pendekatan menyeluruh daripada pihak berkuasa.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, UKM pernah mengemukakan cadangan berkaitan pengurusan dan kawal selia pelarian sejak tahun 2002.
Menurut beliau, kelewatan melaksanakan tindakan yang konkrit dan berkesan menyebabkan populasi etnik itu terus berkembang sehingga semakin sukar dikawal pada masa ini.
Dr Salawati turut menegaskan bahawa Malaysia terikat dengan prinsip kemanusiaan antarabangsa, iaitu non-refoulement, yang melarang penghantaran pulang seseorang ke lokasi yang boleh mengancam keselamatan nyawanya.
Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan pelaksanaan sistem pemantauan pergerakan yang lebih ketat serta pewujudan penempatan khas yang dilengkapi klinik, pusat kemahiran dan sekolah bagi mengawal populasi pelarian serta membendung aktiviti penyeludupan manusia.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan akan terus menguruskan isu pelarian dengan mengutamakan aspek keselamatan negara tanpa mengabaikan pertimbangan kemanusiaan yang sewajarnya.
Isu Rohingya yang berlarutan sejak sekian lama memerlukan pendekatan yang seimbang antara tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan nasional.
Tanpa penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan, cabaran yang timbul berikutan peningkatan populasi pelarian berpotensi menjadi lebih kompleks pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

