Krisis global: Adakah kita terlalu relaks?

PANDEMIK Covid-19 sudah lima tahun berlalu, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatan penduduk dunia.
Seperti laut yang pada awalnya tenang sebelum tiba-tiba bertukar menjadi ombak ganas, begitulah situasi ketika pandemik melanda.
Pada peringkat awal, ramai menganggap wabak tersebut sebagai sesuatu yang biasa dan tidak perlu terlalu dibimbangkan.
Namun, sikap terlalu relaks itulah akhirnya meragut puluhan ribu nyawa serta melumpuhkan hampir keseluruhan sistem kehidupan manusia.
Kenyataan beberapa pihak yang mahu sektor pelancongan terus dibuka dan menganggap kehadiran pelancong luar selamat akhirnya memakan diri.
Ketika itu, tanda-tanda awal penularan jangkitan sebenarnya sudah mula kelihatan susulan kemasukan pelancong dari luar negara yang tidak terkawal, tetapi ramai memilih untuk tidak melihatnya sebagai ancaman serius.
Akhirnya negara berdepan krisis kesihatan yang belum pernah berlaku. Bukan sahaja ramai kehilangan insan tersayang, malah jutaan rakyat turut terkesan dari segi ekonomi dan emosi.
Ada yang kehilangan pekerjaan apabila syarikat gulung tikar atau mengurangkan operasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih menyedihkan, ada yang terpaksa mengangkat bendera putih demi mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas, manakala sebahagian lagi berdepan tekanan mental akibat beban kewangan.
Pengalaman pahit itu sepatutnya menjadi pengajaran agar kita tidak memandang ringan sebarang tanda awal krisis.
Ketika ini, dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan antarabangsa dan pasaran tenaga. Paling terkesan ialah pengeluaran serta pengedaran bahan api, sekali gus mencetuskan krisis tenaga global.
Mungkin kesannya belum begitu dirasai kerana kehidupan masih berjalan seperti biasa. Kenderaan masih bergerak di jalan raya, tiada barisan panjang di stesen minyak dan rak pasar raya juga belum kosong akibat pembelian panik.
Keadaan itu menyebabkan ramai masih berasa selesa dan tidak melihat keperluan untuk bersedia.
Hakikatnya, jika konflik global terus berpanjangan, tidak mustahil harga makanan, ubat-ubatan, bahan binaan dan barangan asas lain meningkat mendadak. Situasi itu akhirnya akan memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussien berkata, situasi semasa masih tidak menentu kerana walaupun bekalan alternatif boleh diperoleh dari sumber lain, penghantarannya mungkin tidak tiba tepat waktu bagi menampung permintaan industri.
Beliau turut menjangkakan Jun dan Julai menjadi titik kritikal yang bakal memperlihatkan kesan sebenar krisis apabila syarikat mula berdepan kekurangan bahan mentah untuk meneruskan pengeluaran.
Keadaan itu sewajarnya dipandang serius oleh kerajaan, pemain industri dan rakyat. Persediaan awal perlu dilakukan bagi mengurangkan kesan sekiranya situasi bertambah buruk.
Rakyat pula jangan terlalu selesa. Ambillah saranan pakar ekonomi supaya lebih berwaspada, terutama dalam soal perbelanjaan. Sikap berjimat-cermat dan mempunyai dana kecemasan kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan.
Apa yang berlaku ketika pandemik Covid-19 membuktikan bahawa krisis besar boleh berlaku tanpa diduga. Jadinya, adakah kita masih mahu terlalu relaks sehingga terlewat bertindak sekali lagi? Bukannya hendak menyuruh rakyat panik, tetapi sekurang-kurangnya sediakan payung sebelum hujan.
* Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

