'Albania bukan untuk dijual'

TIRANA - Ribuan rakyat Albania berhimpun di ibu negara pada Khamis dalam demonstrasi terbesar minggu ini bagi membantah rancangan pembangunan sebuah resort mewah bernilai 1.4 bilion euro (RM6.5 bilion) yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan milik menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, iaitu Jared Kushner.
Projek berkenaan dijadual dibangunkan di kawasan pantai yang masih belum diterokai berhampiran kawasan perlindungan Vjosa-Narta di selatan Albania, sebuah tanah lembap yang menjadi habitat penting kepada burung flamingo, anjing laut serta lokasi pembiakan penyu laut.
Penentangan terhadap projek itu semakin memuncak apabila aktivis alam sekitar mendakwa pembangunan tersebut berisiko menjejaskan ratusan hektar pantai semula jadi serta ekosistem sensitif yang menjadi tempat persinggahan ribuan burung flamingo setiap tahun.
Ahli ornitologi, Ledi Selgjekaj berkata, lebih satu peratus daripada populasi burung flamingo dunia berada di Albania, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan antara habitat penting spesies tersebut.
"Pelaburan sememangnya penting untuk ekonomi negara, namun lokasi pembangunan perlu dipilih dengan teliti. Kawasan ini diiktiraf sebagai kawasan perlindungan atas sebab tertentu," katanya kepada Reuters.
Kontroversi tercetus selepas kerja-kerja awal dan kehadiran jentera berat di tapak projek mencetuskan bantahan penduduk setempat minggu lalu sebelum berkembang menjadi demonstrasi besar-besaran di Tirana.
Para penunjuk perasaan berhimpun di hadapan pejabat Perdana Menteri Albania, Edi Rama, sambil membawa replika flamingo berwarna merah jambu dan melaungkan slogan 'revolusi' serta 'hentikan projek itu'.
Mereka turut membawa sepanduk yang menggesa Rama meletakkan jawatan.
Seorang penulis yang menyertai bantahan tersebut, Lindita Komani, menegaskan bahawa rakyat Albania berhak menentukan masa depan warisan alam semula jadi negara mereka.
"Albania bukan untuk dijual. Albania milik rakyat Albania dan kami yang berhak menentukan apa yang mahu dilakukan di sini.
"Bukan ahli politik yang korup untuk membuat keputusan terhadap harta, warisan alam dan warisan budaya negara ini," katanya.
Pada Jumaat, penduduk tempatan dilaporkan kembali ke kawasan projek bagi meninjau keadaan selepas demonstrasi berlangsung, manakala pihak polis terus melakukan pemantauan.
Bagaimanapun, tiada kelibat pekerja pembinaan atau jentera berat yang sebelum ini menjalankan kerja penyediaan tapak.
Perdana Menteri Albania mempertahankan projek tersebut, manakala pemajunya menegaskan pembangunan itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab serta usaha mempertingkatkan kualiti ekologi kawasan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Ekonomi dan Inovasi Albania, Delina Ibrahimaj berkata, penilaian impak alam sekitar sedang disediakan dan sebarang pelaburan yang diluluskan perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang alam sekitar Albania serta Kesatuan Eropah (EU).
Menurut beliau, perundangan Albania dan garis panduan alam sekitar EU menyediakan perlindungan undang-undang yang mencukupi bagi menghalang sebarang projek yang boleh menjejaskan lagun serta habitat semula jadi di kawasan berkenaan.
Kushner sebelum ini mengumumkan rancangan pembangunan resort itu pada 2024 sebagai sebahagian daripada pelaburan lebih besar yang turut melibatkan pembangunan semula bekas ibu pejabat tentera di Belgrade.
Namun, projek di Serbia itu ditinggalkan tahun lalu selepas berdepan bantahan awam yang berpanjangan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

