PN perlu kekal bersatu jika mahu tawan Putrajaya - Ibrahim Ali

SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengingatkan pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional (PN) supaya mengekalkan perpaduan dalam gabungan itu sekiranya mahu merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki kekuatan tersendiri yang mampu memberi kelebihan kepada PN jika digabungkan, namun perpecahan dalam kalangan sekutu hanya akan menguntungkan pihak lawan.
"Dalam perjuangan Islam, menjaga kesatuan saf lebih penting kerana kegagalan sering berpunca daripada perpecahan dalaman berbanding kekuatan musuh," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Ibrahim turut menasihatkan Pas supaya mengelakkan pertelagahan terbuka dengan rakan dalam PN kerana ia boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap perjuangan Islam yang dibawa parti itu, manakala Bersatu pula disaran tidak bertindak balas secara emosi terhadap sebarang serangan.
Beliau juga mengingatkan PN agar tidak terlalu mudah mempercayai dakwaan bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO akan berpecah, dengan mendakwa kedua-dua pihak masih saling memerlukan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.
Pada masa sama, beliau berpandangan cadangan penyusunan semula kerjasama politik, termasuk kemungkinan Pas bergerak bersama pihak lain atau usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional, bukan perkara mudah kerana melibatkan pelbagai faktor termasuk jentera parti, struktur organisasi, emosi pengundi dan keyakinan rakyat.
Tegasnya, perpecahan blok pembangkang hanya akan memberi kelebihan kepada PH-BN melalui pecahan undi Melayu, khususnya ketika munculnya blok politik baharu yang lebih agresif menarik sokongan pengundi muda dan atas pagar.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada pimpinan serta akar umbi PN supaya menghentikan pertelingkahan sesama sendiri dan tidak memberi ruang kepada pihak lawan mengeksploitasi perbezaan pandangan dalam gabungan berkenaan.
"Jika PRU16 nanti PH dan sekutunya menang walaupun sarat kelemahan, jangan terkejut kalau puncanya bukan kerana mereka terlalu kuat, tetapi kerana PN sendiri gagal menjaga lidah, gagal menjaga saf dan gagal membezakan antara melawan musuh dengan mencederakan kawan sendiri," ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai pemerhati politik yang prihatin terhadap masa depan orang Melayu, rakyat Malaysia dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

