Covid-19: Mungkin tiada solat tarawih di Kedah: Mufti

Syeikh Fadzil (kiri) menyampaikan sumbangan penutup hidung dan mulut kepada wakil media disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman (tengah) di Menara Zakat Alor Setar hari ini.
Syeikh Fadzil (kiri) menyampaikan sumbangan penutup hidung dan mulut kepada wakil media disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman (tengah) di Menara Zakat Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Solat tarawih di seluruh negeri Kedah kemungkinan besar dibatalkan pada tahun ini, namun tertakluk kepada ketetapan atau keputusan akhir daripada Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih belum reda setakat ini.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, terdapat permohonan daripada beberapa masjid dan surau di negeri ini yang mahu melaksanakan ibadat tersebut secara berjemaah dalam jumlah kecil, bagaimanapun KKM adalah pihak yang dilihat mempunyai kuasa dalam memutuskan sesuatu perintah terbaik berhubung situasi perkembangan Covid-19.

"Kalau mereka (KKM) keluarkan satu peraturan, satu perintah, maka perintah mereka adalah paling kuat. Dalam soal seperti ini (solat tarawih), yang lebih kuat (buat keputusan) ialah KKM. Saya percaya bahawa tahun ini solat tarawih di masjid dan surau tidak akan diadakan," katanya pada sidang media di Menara Zakat Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada solat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau bagi negeri Kedah boleh diteruskan atau tidak sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga Ramadan.

Pada Minggu lalu, sebuah portal melaporkan Majlis Dakwah Negara mencadangkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing sepanjang Ramadan sekiranya pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Pengerusinya, Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, solat tarawih di rumah adalah amalan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan: