Arafah #QuranHour 2026 garis lima resolusi bentuk jiwa hamba, kukuh perjuangan iman

Fazrul
Fazrul
A
A
A

SHAH ALAM - Lima resolusi utama digariskan menerusi Arafah #QuranHour 2026 sebagai panduan membentuk jiwa hamba, memperkukuh perjuangan iman dan melahirkan umat Islam yang membawa rahmat kepada masyarakat.

Pentadabbur merangkap Ketua Pegawai Kandungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, resolusi berkenaan dirumuskan menerusi tadabbur Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Hajj yang menekankan penghambaan diri kepada ALLAH SWT.

Menurut beliau, resolusi pertama ialah membina jiwa hamba yang bergantung penuh kepada ALLAH SWT menerusi amalan rukuk dan sujud.

"ALLAH SWT mengingatkan pada ayat 77, makin kita ini rukuk dan makin kita bersujud, maka ia menyebabkan kita makin lagi merendah diri dalam pelbagai cabaran kehidupan yang melanda.

"Kita jangan sampai terlupa bahawa cara untuk kita memohon pertolongan Allah pada segenap cabaran hidup ini adalah dengan adanya rukuk dan sujud," katanya ketika program Arafah #QuranHour 2026 disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Program berkenaan turut menampilkan Dr Mohd Shafiq Sahimi dan sebagai pentadabbur, manakala Ustaz Tirmizi Ali bertindak sebagai qari dan Riswandi Razak selaku pembaca ikrar.

Lima resolusi sempena Arafah #QuranHour 2026.
Lima resolusi sempena Arafah #QuranHour 2026.

Arafah #QuranHour 2026 mengangkat tema The Chosen One sebagai seruan untuk melahirkan insan pilihan ALLAH SWT yang bukan sekadar beriman, tetapi bersedia memikul amanah membina ummah dengan panduan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, resolusi kedua pula menekankan untuk melahirkan hamba ‘The Chosen One’ yang mempunyai daya tahan kuat dalam menghadapi ujian.

"ALLAH SWT memilih kita dan ALLAH pilih itu bukan untuk kita goyang kaki, tetapi ALLAH pilih kita untuk bertugas, untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dalam menghadapi pelbagai ujian," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fazrul menambah, resolusi ketiga memberi penekanan kepada usaha menghidupkan nilai takwa dalam setiap ibadah dan tindakan.

Menurutnya, hati perlu dibersihkan daripada perkara yang menjauhkan manusia daripada menghargai kebesaran ALLAH SWT.

"Bagi para hujaj ketika berada di Arafah, ketika berada di Mina, ketika berada di Muzdalifah, jangan terlupa dalam penat mengutip kerikil batu di Muzdalifah dan melontar di jamrah itu.

"Ingat bahawa ada nilai takwa, hati ini perlu dibersihkan daripada semua perkara yang menyebabkan kita jauh daripada menghargai ‘ni'mal maula wa ni'man nasir’," kongsinya.

Beliau memberitahu, resolusi keempat pula ialah meneruskan momentum ibadah dan perjuangan iman sehingga akhir kehidupan.

Katanya, umat Islam perlu terus merasai kemanisan apabila ALLAH SWT menjadi pelindung manusia dalam setiap cabaran hidup.

"Kemanisan itu ingin kita bawa terus menerus dalam hidup dan ia bukan sekadar para hujaj. Bagi kita yang berada di seluruh dunia pada hari Arafah ini.

"Kita sudah dipilih dan kita terpilih untuk melaksanakan tugas dalam kepayahan berpegang kepada ALLAH SWT benar-benar sehingga kita akan terus merasai kemanisan perlindungan dan bantuan besar daripada ALLAH SWT," menurut beliau.

Sementara itu, Fazrul berkata, resolusi kelima menekankan usaha memperkukuh peranan khalifah untuk membawa rahmat kepada ummah.

Menurut beliau, umat Islam perlu menampilkan jiwa rahmah walaupun berdepan perselisihan dan konflik dalam masyarakat.

"Pada ayat akhir Surah Al-Hajj. Kita mahu menjadi saksi kepada seluruh manusia bahawa kita membawa rahmat. Dalam keadaan orang berperang, orang mungkin bergaduh, orang bertelagah dan sebagainya, kita tetap membawa jiwa rahmat kerana itulah yang dibekalkan kepada kita.

“Pada hujung Surah Muzammil, ALLAH menawarkan keampunan, Allah menawarkan rahmat. Orang yang sentiasa diampunkan, dia tahu bahawa saya tidak layak untuk mengherdik orang sekeliling," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!