Pernas pacu pertumbuhan inklusif industri francais di FIM2026

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan ekosistem francais negara menerusi penganjuran bersama Franchise International Malaysia 2026 (FIM2026) bersama Malaysian Franchise Association (MFA).
Program yang memasuki edisi ke-33 itu berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan sokongan penuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
FIM2026 menjadi antara pameran francais terbesar di rantau ini apabila menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa, pelabur, francaisor serta usahawan berpotensi di bawah satu platform.
Penganjuran kali ini juga menarik lebih 25,000 pengunjung dan menjana potensi pelaburan bernilai RM600 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib berkata, industri francais menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan penyertaan daripada pelbagai sektor selain makanan dan minuman (F&B).
“Perkembangan positif ini mampu menggalakkan lebih ramai usahawan meneroka model francais sebagai strategi pertumbuhan perniagaan yang mampan dan berskala besar.
“Pernas turut memperkukuh usaha menerusi pelbagai program latihan kepada francaisor dan francaisi selain bantuan pembiayaan bagi memastikan perniagaan dapat berkembang secara mampan dan kekal berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, melangkaui persepsi bahawa industri francais hanya tertumpu kepada sektor F&B, Pernas kini membangunkan landskap francais yang lebih luas dan inklusif dengan mengetengahkan pelbagai perniagaan daripada sektor pendidikan, perkhidmatan, teknologi, pelancongan, peruncitan dan lain-lain.
Lebih 20 perniagaan telah menyertai Pavilion Pernas pada tahun ini sekali gus memperlihatkan kepelbagaian serta potensi besar ekosistem francais tempatan.
Antara perniagaan yang diketengahkan oleh Pernas sebagai pra-francaisor di FIM2026 termasuk Glocal Travel & Tours, Christy Ng, Asia Aquatech dan banyak lagi, selaras dengan usaha berterusan Pernas dalam membangunkan jenama tempatan berpotensi tinggi menjadi perniagaan francais yang berjaya.
Sepanjang FIM2026 berlangsung, Pernas turut memeterai kerjasama strategik bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).

Kerjasama tersebut mula diperkenalkan semasa Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Mara 2026 yang berlangsung awal bulan ini.
Kerjasama bertujuan memperkukuh pembangunan usahawan bumiputera melalui perkongsian kepakaran, sumber dan rangkaian industri.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk program latihan keusahawanan kepada graduan TVET Mara serta program pembangunan untuk usahawan Mara sedia ada yang berminat menceburi industri francais.
Kerjasama strategik ini juga bakal menyokong usahawan bumiputera melalui bantuan pembiayaan termasuk geran padanan bagi memudahkan pengembangan perniagaan menerusi model francais.
Inisiatif tersebut dijangka mampu meningkatkan keupayaan operasi, memperkukuh daya saing perniagaan serta mempercepat pertumbuhan industri francais negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
