Wabak Ebola: Angka korban melepasi 200 orang

ADDIS ABABA - Republik Demokratik Congo (DRC) mengemas kini data kematian wabak Ebola yang kini meningkat kepada 204 orang pada lewat Sabtu.
Angka itu diperincikan semula selepas Persatuan Palang Merah memaklumkan tiga sukarelawan maut akibat virus tersebut dan Uganda mengesahkan tiga kes baharu.
Kementerian Kesihatan di Kinshasa memaklumkan kesemua kematian itu direkodkan di tiga wilayah daripada keseluruhan 867 kes disyaki sebelum ini.
Susulan lonjakan kes, Agensi Kesihatan Kesatuan Afrika (AU) memberi amaran lebih banyak negara di benua tersebut berisiko berdepan penularan Ebola.
"10 negara kini di ambang bahaya," kata Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, Jean Kaseya.
Negara yang disenaraikan ialah Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ethiopia, Kenya, Rwanda, Sudan Selatan, Tanzania dan Zambia.
Menurut Kaseya, tahap mobiliti penduduk yang tinggi dan faktor ketidakstabilan keselamatan di rantau berkenaan menyumbang kepada penyebaran wabak berkenaan.
Ebola telah meragut lebih daripada 15,000 nyawa di Afrika dalam tempoh setengah abad yang lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

