APAD disyor wajibkan semakan lesen GDL, PSV sebelum ambil pemandu

Sebanyak tiga cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh BPT SPRM kepada APAD berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan kenderaan perdagangan.
Sebanyak tiga cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh BPT SPRM kepada APAD berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan kenderaan perdagangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) disyor mengeluarkan arahan mandatori mewajibkan syarikat pengendali kenderaan perdagangan membuat semakan rekod lesen vokasional pemandu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai prasyarat pengambilan pekerja.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, cadangan itu antara tiga syor penambahbaikan tatakelola yang dibentangkan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM kepada APAD berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan kenderaan perdagangan.

Menurut kenyataan itu, semakan berkenaan melibatkan rekod lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu bagi memastikan hanya individu layak dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan.

"Cadangan kedua membabitkan pembangunan sistem pangkalan data pemandu bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan.

"Ia bagi merekod serta menjejak sejarah lesen GDL dan PSV pemandu termasuk jenis kesalahan, status penggantungan dan kelayakan untuk tujuan tapisan pengambilan kerja, pemantauan serta penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

SPRM berkata, cadangan ketiga pula ialah mewujudkan aplikasi pengisytiharan kendiri oleh pemandu kenderaan perdagangan sebelum dan selepas pemanduan yang menekankan konsep fit to work.

Menurut kenyataan itu, aplikasi itu turut merangkumi pengurusan risiko sebelum tugas serta pengesahan pematuhan keselamatan secara digital.

Tambah kenyataan itu, cadangan penambahbaikan itu dibuat susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan lori dan bas yang mencetuskan kebimbangan masyarakat serta menjadi isu nasional.

"Kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sedia ada bagi memperkukuh aspek keselamatan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi kawal selia oleh APAD.

Artikel Berkaitan:

"Ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasakan tadbir urus sektor awam melalui pendekatan pencegahan dan penambahbaikan tatakelola," kata kenyataan itu.

Kesemua syor berkenaan disampaikan Ketua Cawangan D BPT SPRM, Penolong Pesuruhjaya Nik Nor Azleen Mohammed dalam sesi pembentangan di Ibu Pejabat APAD di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan menyatakan komitmen untuk meneliti syor-syor tersebut bagi memperkukuh aspek keselamatan serta tadbir urus pengurusan kenderaan perdagangan.

Komitmen itu turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disempurnakan Ahmad Radhi dan disaksikan Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!