Jejak hijrah Rasulullah ‘dihidupkan’ di Jabal Thur

Pengalaman interaktif memberi peluang kepada pengunjung menelusuri semula perjalanan hijrah Rasulullah SAW. Foto TH
Pengalaman interaktif memberi peluang kepada pengunjung menelusuri semula perjalanan hijrah Rasulullah SAW. Foto TH
A
A
A

MAKKAH – Perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang selama ini hanya dibaca menerusi kitab sirah, kini dapat dirasai dengan lebih dekat dan menyentuh jiwa menerusi pengalaman interaktif di Jabal Thur.

Lawatan khas itu disertai petugas media yang dibawa oleh syarikat penyedia perkhidmatan Holiday In Bakkah bagi menelusuri semula perjalanan hijrah Rasulullah SAW, termasuk suasana di Gua Thur yang menjadi lokasi penting dalam sejarah Islam.

Gua Thur yang terletak di atas Jabal Thur merupakan lokasi Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar RA berlindung selama tiga hari bagi mengelakkan buruan kaum Quraisy sebelum meneruskan perjalanan hijrah ke Madinah.

Muzium yang dibangunkan kerajaan Arab Saudi itu memberi peluang kepada pengunjung menghayati sendiri suasana perjalanan hijrah menerusi pendekatan visual dan pengalaman interaktif yang lebih mendalam.

Lokasi berkenaan menjadi permulaan kepada perjalanan ‘Ala Khutah’ yang menjejaki sirah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Sebaik tiba di kawasan tersebut, pengunjung disambut dengan suasana pasar seperti pada zaman Rasulullah SAW apabila terdapat pelakon memakai pakaian tradisional Arab dan bertutur dalam gaya masyarakat ketika itu.

Suasana berkenaan seakan-akan membawa pengunjung kembali ke zaman awal Islam sekali gus membangkitkan rasa lebih dekat dengan perjalanan dakwah dan pengorbanan Rasulullah SAW.

Pengunjung disambut dengan suasana pasar seperti pada zaman Rasulullah SAW. Foto TH
Pengunjung disambut dengan suasana pasar seperti pada zaman Rasulullah SAW. Foto TH

Artikel Berkaitan:

Selain suasana pasar lama, pengunjung turut dibawa menyelami pengalaman berada di dalam gua menerusi konsep ‘point of view’ (POV) seolah-olah bersama Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah berlaku.

Menerusi pengalaman itu, keadaan di dalam Gua Thur ketika Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA bersembunyi digambarkan secara visual termasuk detik musuh datang memburu baginda.

Pendekatan interaktif tersebut bukan sahaja memberi pengalaman lebih mendalam kepada pengunjung, malah membangkitkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad SAW serta menginsafkan tentang besarnya pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam.

Perjalanan itu tidak terhenti di Jabal Thur sahaja, sebaliknya diteruskan ke beberapa lokasi lain berkaitan sirah hijrah termasuk Ummu Ma’bad, Usfan, Juhfah dan Wadi Lagf.

Keseluruhan pengalaman interaktif tersebut melibatkan 11 ‘checkpoint’ sebelum berakhir di Madinah dengan suasana sambutan ‘Tala’al Badru Alaina’ di Masjid Quba, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menelusuri semula perjalanan hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik penting perkembangan Islam.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!