Siap siaga hadapi lebih banyak kes Hantavirus - WHO

KETUA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa negara antarabangsa bersiap siaga menghadapi lebih banyak kes Hantavirus, selepas seorang wanita Perancis yang dijangkiti virus itu di atas kapal MV Hondius dilaporkan kritikal.
"Kes baharu dijangka muncul kerana tahap interaksi tinggi antara penumpang di atas kapal sebelum amaran dikeluarkan dan kes pertama disahkan pada 2 Mei. Kes pertama direkodkan pada 6 April dan kesemua penumpang berpotensi menjadi kontak rapat.
"Seperti yang diketahui, tempoh inkubasi antara enam dan lapan minggu. Setiap negara kini bertanggungjawab terhadap rakyat masing-masing selepas proses pemindahan. Saya berharap mereka akan menjaga pesakit dan melindungi rakyat mereka sendiri. Itulah yang kami harapkan,” jelasnya.
Difahamkan, WHO telah memaklumkan secara rasmi kepada 12 negara termasuk Australia, Turkiye, Afrika Selatan dan Belgium untuk memantau dan mengesan penumpang yang telah turun dari Hondius sebagai langkah berjaga-jaga.
Menteri Kesihatan Perancis, Stéphanie Rist pula menyatakan masih belum jelas sama ada strain Hantavirus tersebut mengalami mutasi.
Menurutnya, masih terdapat banyak perkara yang belum diketahui tentang virus tersebut dan pihaknya masih belum memperoleh penjujukan lengkap yang membolehkan pengesahan secara muktamad. Setakat ini, mereka agak yakin bahawa virus berkenaan belum bermutasi, sekali gus memberi sedikit kelegaan kerana penularannya dijangka dapat dikekang.
Sementara itu, pihak berkuasa Argentina memaklumkan mereka belum mengenal pasti punca sebenar wabak tersebut walaupun kapal itu berlepas dari Ushuaia pada 1 April selepas para penumpang melawat Chile dan Uruguay.
WHO terus menegaskan bahawa strain Andes hanya merebak melalui kontak yang sangat rapat dan risiko kepada orang ramai kekal rendah.
Usaha pengesanan kontak sedang giat dijalankan di pelbagai benua ketika pihak berkuasa berusaha membendung situasi yang kini menjadi amaran kesihatan antarabangsa melibatkan penumpang dari 23 negara.
Pegawai kesihatan awam juga terus memantau wabak itu dengan teliti terutamanya di kawasan yang sudah mempunyai endemik Hantavirus.

Penularan melalui hubungan seksual
Hantavirus kini menjadi perhatian dalam satu misteri epidemiologi yang semakin membimbangkan setelah satu kajian mendedahkan ia boleh kekal dalam air mani manusia selama bertahun-tahun dan berpotensi menular melalui hubungan intim.
Penyelidikan diterbitkan menerusi jurnal Viruses pada 2023 mendapati strain Andes dikesan dalam air mani seorang lelaki hampir enam tahun selepas dia dijangkiti.
Kajian itu dijalankan oleh penyelidik di Makmal Spiez, Switzerland ke atas lelaki warga Switzerland berusia 55 tahun yang dijangkiti virus itu ketika melancong di Amerika Selatan.
Ia masih ditemui dalam air mani individu tersebut selepas tempoh 71 bulan walaupun virus tersebut sudah tidak lagi dikesan dalam darah, air kencing dan saluran pernafasan.
Penemuan itu menyenaraikan Hantavirus dalam kumpulan kecil patogen termasuk Ebola dan Zika yang diketahui boleh kekal dalam 'kawasan istimewa imun' tubuh yang membolehkan virus mengelak daripada sistem pertahanan badan.
“Secara keseluruhan, keputusan kami menunjukkan bahawa strain Andes berpotensi menular melalui hubungan seksual,” menurut penulis kajian tersebut, namun tiada kes penularan seksual yang pernah dilaporkan setakat ini.
Penganalisis di syarikat ramalan risiko kesihatan, Airfinity berpendapat pesakit lelaki yang dijangkiti strain Andes perlu diberi panduan seks selamat yang lebih ketat walaupun selepas tempoh kuarantin standard berakhir.
Mereka mencadangkan protokol yang sama seperti yang digunakan untuk pesakit Ebola.
Di bawah garis panduan semasa WHO untuk Ebola, pesakit lelaki yang pulih disarankan menjalani ujian air mani setiap tiga bulan dan hanya dianggap bebas jangkitan selepas mendapat dua keputusan negatif berturut-turut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

