RISE Educator Award kembali dengan dana lebih RM100,000

SHAH ALAM - RISE Educator Award kembali untuk edisi keenam sempena sambutan Hari Guru 2026 dengan membawa misi memperkasa transformasi pendidikan diterajui guru di seluruh negara menerusi dana dan hadiah keseluruhan melebihi RM100,000.
Anugerah anjuran Taylor’s College itu terus mengangkat peranan pendidik yang bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, malah menjadi pencetus perubahan dalam komuniti dan sistem pendidikan negara.
Bertemakan ‘Meraikan Guru di Sebalik Masa Depan Bersama’, penganjuran tahun ini memberi fokus terhadap usaha guru dalam membina ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif, inovatif dan relevan dengan cabaran masa hadapan.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, guru memainkan peranan besar dalam memastikan pendidikan terus berkembang selari dengan keperluan semasa.

“Ramai pendidik di lapangan kini tampil dengan pendekatan baharu bagi memastikan proses pembelajaran lebih berkesan dan dapat diakses oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
“Melalui RISE Educator Award, kami mahu mengiktiraf usaha luar biasa para guru yang sentiasa komited membawa perubahan bermakna kepada pelajar dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah tersebut terbuka kepada guru sekolah kebangsaan, swasta dan antarabangsa melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
Malah, edisi kali ini turut memperluaskan penyertaan kepada pusat pendidikan alternatif yang membantu kanak-kanak pelarian serta tanpa kewarganegaraan mendapatkan akses pendidikan.

Pencalonan dibuka bermula 15 Mei hingga 30 Jun 2026 menerusi penulisan antara 100 hingga 500 patah perkataan yang menghuraikan sumbangan dan impak seorang guru.
Antara aspek utama yang perlu diketengahkan ialah cabaran dihadapi, tindakan dilaksanakan, hasil dicapai serta kesan jangka panjang terhadap pelajar atau komuniti setempat.
Salah satu kisah inspirasi yang pernah diketengahkan menerusi anugerah itu ialah penerima tahun lalu, Stefanus Lucas.
Guru pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu itu berjaya membangunkan Bilik Muzik Inklusif pertama di Sabah bagi pelajar bermasalah pendengaran melalui dana tajaan RM50,000 diterimanya.
Inisiatif berkenaan kini memberi manfaat kepada lebih 40 pelajar dan membuktikan inovasi kecil yang digerakkan guru mampu mencipta perubahan besar dalam dunia pendidikan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
