Dinosaur terbesar Asia Tenggara ditemui di Thailand

BANGKOK - Sekumpulan saintis mengenal pasti spesies baharu dinosaur gergasi berleher panjang hasil penemuan fosil di timur laut Thailand, yang dipercayai sebagai dinosaur terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara.
Laporan Reuters menyebut dinosaur itu dinamakan Nagatitan chaiyaphumensis dan dianggarkan seberat kira-kira 27 tan, bersamaan sembilan ekor gajah Asia dewasa, serta berukuran sekitar 27 meter panjang.
Penemuan fosil berkenaan dibuat di wilayah Chaiyaphum, timur laut Thailand dan hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Scientific Reports.
Menurut saintis, spesies berkenaan tergolong dalam kumpulan dinosaur sauropod, iaitu dinosaur herbivor berleher panjang yang pernah hidup jutaan tahun lalu.
Penyelidik percaya Nagatitan chaiyaphumensis merupakan dinosaur terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara berdasarkan saiz fosil yang ditemukan setakat ini.
Penemuan itu sekali gus memberikan petunjuk baharu mengenai kepelbagaian spesies dinosaur yang pernah menghuni rantau Asia Tenggara pada zaman prasejarah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

