Cherita secangkir kopi

IPOH - Budaya "mengopi" di Malaysia menyaksikan peningkatan ketara penggunaan biji kopi sejak beberapa tahun lalu dengan data International Coffee Organisation menunjukkan Malaysia di tangga ketiga daripada 58 negara, dari segi pertumbuhan penggunaan kopi tertinggi pada 2021.
Bagi penanam kopi, Hazian Hamid, 65, penglibatannya bermula secara tidak dirancang selepas menerima cadangan serta bantuan benih daripada Jabatan Pertanian sekitar 2019, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
"Sebelum menceburi tanaman kopi, saya hanya mengusahakan tanaman kelapa dan tidak mempunyai pengalaman dalam industri kopi, namun mengambil peluang tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan penjanaan pendapatan dalam bidang pertanian.
"Usaha untuk menanam kopi ini juga menjadi lebih mudah kerana saya usahakan tanaman ini di atas tanah sendiri (Kampung Padang Kota, Pengkalan Hulu) yang berkeluasan tiga hektar, sekali gus memudahkan proses penjagaan serta pemantauan secara berterusan," katanya.
Hazian yang merupakan anak jati kelahiran Hulu Perak itu berkata, dia menanam lebih 1,000 batang pokok kopi jenis Liberica di kawasan tersebut dan hingga kini hasil pengeluaran boleh mencecah antara 600 hingga 700 kilogram setiap pusingan tuaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
