Iran jawab cadangan AS tamatkan perang

TEHERAN - Iran dilaporkan telah menyerahkan jawapan rasmi terhadap cadangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai persetujuan menamatkan perang AS-Israel terhadap negara itu secara kekal.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA pada Ahad melaporkan jawapan tersebut diserahkan kepada Pakistan, yang bertindak sebagai orang tengah dalam usaha meredakan konflik berkenaan.
Menurut laporan itu, maklum balas Iran menegaskan bahawa rundingan semasa antara Teheran dan Washington perlu tertumpu sepenuhnya kepada usaha menamatkan perang terlebih dahulu.
Isu lain, termasuk pertikaian berkaitan program nuklear Iran, hanya perlu dibincangkan pada peringkat rundingan seterusnya.
Kementerian Luar Iran sebelum ini memaklumkan bahawa Teheran akan menyerahkan respons akhir terhadap cadangan AS selepas mengadakan perbincangan dan penelitian menyeluruh.
Cadangan AS itu dibuat sebagai tindak balas kepada pelan 14 perkara yang dikemukakan Iran bagi menghentikan perang secara menyeluruh.
Jawapan terbaharu Iran dilaporkan memberi tumpuan kepada usaha menghentikan serangan di semua medan, termasuk serangan Israel ke atas Lubnan, selain menjamin keselamatan perkapalan di Teluk Parsi.
Iran dan AS sebelum ini mengadakan rundingan intensif pada 11 dan 12 April di Islamabad, beberapa hari selepas Pakistan menjadi orang tengah dalam gencatan senjata bagi menghentikan serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari.
Bagaimanapun, rundingan itu dilaporkan gagal susulan tuntutan maksimum Washington, menurut pegawai Iran.
Antara perkara utama yang masih menjadi penghalang dalam rundingan ialah pemulihan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan strategik di Teluk Parsi yang berada di bawah kawalan Iran sejak awal konflik.
Teheran memberi isyarat bahawa ia bersedia membuka semula selat tersebut sekiranya serangan dihentikan secara kekal dan AS menarik balik sekatan serta blokade terhadap Iran.
Pihak berkuasa Iran turut menegaskan bahawa fasa pertama sebarang persetujuan perlu menumpukan kepada isu perkapalan dan sekatan.
Pada masa sama, Teheran menyatakan kesediaan membincangkan program nuklearnya pada peringkat rundingan kemudian.
Perkembangan itu memberi sedikit ruang kepada usaha diplomatik, namun kejayaan rundingan masih bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak mencapai kompromi terhadap isu keselamatan, sekatan dan kawalan laluan strategik di Teluk Parsi.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

