[VIDEO] Op Naga: 5,139 nelayan asing ditahan, rampasan RM244 juta sejak 2019
PUTRAJAYA - Pencerobohan nelayan asing yang mengaut hasil laut negara secara haram terus menjadi ancaman serius terhadap kedaulatan perairan Malaysia apabila Operasi Naga (Op Naga) merekodkan 639 tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM244 juta sejak 2019.
Operasi bersepadu melibatkan 17 agensi keselamatan dan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi mengekang aktiviti Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing) yang bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah mengancam sumber ekonomi maritim serta ekosistem laut tempatan.

Statistik Op Naga sehingga 31 Mac lalu menunjukkan kawasan Barat Terengganu merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 436 kes, diikuti Timur Sarawak sebanyak 128 kes dan Timur Sabah sebanyak 75 kes.
Kerajaan Malaysia menubuhkan Task Force melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan pada April 2019 sebelum Op Naga diaktifkan di perairan Pantai Timur Semenanjung dan kemudiannya diperluaskan ke Sabah serta Sarawak.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilantik sebagai agensi penyelaras operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Op Naga merupakan operasi bersepadu berterusan bagi menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks khususnya di Laut China Selatan.

"Sejak dilaksanakan, operasi itu turut merekodkan sebanyak 180,767 pemeriksaan selain penahanan 5,139 nelayan asing dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang terlibat dalam aktiviti perikanan haram.
"Pencerobohan vesel nelayan asing bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi ancaman langsung kepada kedaulatan negara, keselamatan perairan serta kelangsungan sumber ekonomi maritim," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Op Naga Siri 12 Bilangan 1/2026 baru-baru ini.
Beliau berkata, aktiviti IUU Fishing turut menyebabkan kerugian besar kepada industri perikanan tempatan selain merosakkan ekosistem marin negara yang tidak ternilai.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi berkata, Bengkel Combined Strategic Communication Working Group (CSCWG) Op Naga 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 4 Mei lalu menjadi platform penting dalam memperkukuh strategi komunikasi operasi.
Katanya, bengkel julung kali diadakan itu menghimpunkan pegawai komunikasi daripada 17 agensi keselamatan bagi menyelaras penyampaian maklumat berkaitan operasi keselamatan maritim negara.
"Dalam era dominasi maklumat digital, kejayaan operasi keselamatan tidak lagi hanya diukur melalui tangkapan di lapangan, tetapi juga keupayaan mengurus naratif, persepsi dan keyakinan awam secara berkesan.
"Komunikasi strategik yang terselaras adalah benteng penting dalam memastikan setiap kejayaan operasi sampai kepada rakyat dengan tepat, pantas dan diyakini," katanya.

Menurutnya, gabungan kekuatan operasi dan komunikasi strategik itu dijangka terus memperkukuhkan keberkesanan Op Naga sebagai benteng utama negara dalam mengekang pencerobohan asing serta jenayah rentas sempadan di perairan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

