73 keluarga terjejas banjir kilat di Pos Sinderut

LIPIS – Sebanyak 73 keluarga terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Bertang Lama, Pos Sinderut, di sini pada Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis berkata, banjir kilat itu berlaku kira-kira jam 4 pagi susulan hujan lebat berterusan.
Menurutnya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka memandangkan air banjir surut sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi.
"Penduduk terjejas juga telah membersihkan rumah masing-masing.
"Sumbangan Kit Bantuan Permulaan Makanan (KPM) dan kewangan telah diagihkan kepada mangsa terlibat serta disampaikan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Jelas Sekretariat JPBD Lipis, agensi terlibat kini dalam proses mengenal pasti anggaran kerosakan bagi 73 rumah yang terjejas akibat banjir itu.
Pos Sinderut menjadi lokasi kedua dilanda banjir di negeri ini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Raub susulan banjir di Kampung Batu Talam yang menjejaskan 52 penduduk.
Limpahan air Sungai Kapur di Batu Talam memaksa semua mangsa daripada 16 keluarga itu dipindahkan ke PPS di Dewan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

