Ibu muda maut dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki mabuk

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu muda maut dipercayai dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Ujong Pasir, berhadapan Kondominium Pasir Mutiara awal pagi Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 3.10 pagi itu, mangsa, Nur Aleya Natasha Roslan, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.

Menurutnya, kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bandar Hilir menuju ke Serkam.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah Bukit Lintang menghala ke Bandar Melaka.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.

Seorang ibu muda maut dipercayai dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Ujong Pasir, berhadapan Kondominium Pasir Mutiara awal pagi Selasa.
Seorang ibu muda maut dipercayai dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Ujong Pasir, berhadapan Kondominium Pasir Mutiara awal pagi Selasa.

Tambahnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Sampel darah pemandu turut diambil untuk analisis lanjut, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan permohonan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini terhadap suspek bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.

Permohonan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!