Usaha tarik pelancong tenggelam dicemari elemen kontroversi - ABIM

Ahmad Fahmi
Ahmad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menarik pelancong melalui penganjuran pelbagai program sememangnya wajar dihargai, khususnya dalam menampilkan kekayaan makanan tradisi, budaya, adat serta pakaian yang mencerminkan identiti Malaysia.

Bagaimanapun, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, potensi dan nilai usaha itu berisiko tenggelam apabila dicemari elemen kontroversi yang tidak perlu, sekali gus mengaburkan penyampaian mesej sebenar.

Dalam masa sama, tegasnya, keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terletak pada kekayaan warisan budaya, kepelbagaian adat serta identiti masyarakat majmuk yang tiada di kebanyakan destinasi lain.

"Pendekatan promosi yang terlalu bergantung kepada bentuk hiburan yang tidak mencerminkan identiti tempatan berisiko menghakis keaslian Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan beridentiti.

"Justeru, pendekatan yang lebih tersusun dan berpaksikan nilai penting bagi memastikan imej negara terus diperkukuh sebagai masyarakat yang berbudaya, berprinsip serta dihormati.

"Malaysia perlu dikenali kerana jati dirinya, bukan meniru bentuk hiburan generik yang tidak mencerminkan keunikan negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Justeru, kata Ahmad Fahmi, pihaknya menggalakkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperkukuh strategi pelancongan yang lebih bersepadu dan berpaksikan nilai.

Tambah beliau, strategi dimaksudkan khususnya dalam merangka penganjuran program pelancongan di seluruh negara yang wajar, berfokus dan selari aspirasi Malaysia Madani.

"Ini termasuk penekanan kepada kandungan yang mencerminkan identiti tempatan dan garis panduan jelas bagi memastikan kesesuaian program dengan konteks semasa serta nilai masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"ABIM percaya keseimbangan antara keperluan ekonomi dan sensitiviti masyarakat adalah asas kepada pembentukan dasar berkesan, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa yang memerlukan kepimpinan berteraskan hikmah serta pertimbangan menyeluruh," ujarnya.

Ahmad Fahmi turut memaklumkan, ABIM mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi negara.

Namun, jelasnya, dalam suasana semasa yang menyaksikan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan global, pendekatan penganjuran acara perlu dinilai secara lebih menyeluruh dari sudut keutamaan, mesej dasar dan kesannya terhadap persepsi awam.

Tambah Ahmad Fahmi, sambutan pelancongan dengan aktiviti seperti pesta air di kawasan bandar utama dan tumpuan awam menimbulkan persoalan dari sudut kesesuaian pendekatan serta nilai yang ingin ditonjolkan.

"Perkara ini tidak terhad kepada satu lokasi tertentu, sebaliknya mencerminkan pendekatan lebih meluas dalam penganjuran program pelancongan di seluruh negara yang wajar dinilai kembali secara menyeluruh.

"Lebih membimbangkan, penglibatan kepimpinan tertinggi kementerian secara langsung dalam aksi semburan air di ruang awam menunjukkan pertimbangan yang tidak selari konteks semasa, sekali gus berisiko menjejaskan kewibawaannya serta komitmen terhadap nilai kesederhanaan dalam kerangka Malaysia Madani.

"Percanggahan yang ketara antara seruan penjimatan serta keperluan pengurusan berhemah dengan pendekatan penganjuran acara seperti ini turut berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!