6 konco along simbah cat, molotov cocktail diberkas

JOHOR BAHRU – Taktik licik enam konco along yang aktif melakukan ugutan jenayah termasuk simbah cat merah dan melontar molotov cocktail ke rumah mangsa akhirnya tumpas apabila mereka diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 42 tahun diberkas susulan laporan seorang pesara lelaki berusia 52 tahun pada 7 April lalu.
Menurutnya, mangsa membuat laporan selepas rumah miliknya di Taman Mount Austin di sini disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.
“Mangsa percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan penyewa rumahnya yang dipercayai membuat pinjaman wang tidak berlesen di negara jiran.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama IPD Kajang berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang menaiki Perodua Bezza di Bangi, Selangor pada 9 April lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.
Menurut Ab Rahaman, suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis sebelum melarikan diri, namun berjaya ditahan kira-kira jam 11.30 malam di Cheras, Kuala Lumpur.
"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur dan menahan lima lagi ahli kumpulan berkenaan.
“Hasil serbuan, polis merampas sepucuk pistol bersama dua butir peluru hidup, enam helai kertas mengandungi tuntutan hutang serta sebuah kereta jenis Honda Jazz.
“Siasatan mendapati suspek menerima bayaran kira-kira RM600 untuk kerja simbah cat dan RM1,000 bagi serangan menggunakan molotov cocktail,” ujarnya.
Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah.
Katanya, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Melaka, Perak dan Pahang melibatkan ugutan, khianat serta serangan berkaitan pinjaman wang tidak berlesen.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan lain termasuk kesalahan memiliki senjata api dan penyalahgunaan dadah," kata beliau.
Menurutnya, polis kini bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mengesan dalang utama sindiket berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

