X

Kindly register in order to view this article
!

Pandangan terhadap arak adalah konsisten: Zulkifli

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A

SHAH ALAM - Arak atau minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam Islam malah ia digambarkan dengan keburukan dan bahaya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh serta lain-lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pandangan beliau mengenai arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi bahawa ia haram di sisi Islam.

Menurutnya, orang ramai boleh merujuk penulisan beliau berkaitan arak semasa menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

“Teguran dan nasihat saya adalah tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih-milih.

“Apalah erti kehidupan kita jika masing-masing tidak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama?

“Tragedi kemalangan jalan raya akibat mabuk bukanlah asing dalam dada akhbar di Malaysia. Ia akan kekal menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia jika hal ini tidak diteliti dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Berhubung surat yang tersebar berkenaan kilang arak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, umum sudah mengetahui natijahnya dan berharap perkara itu tidak berulang.

Menurutnya, beliau amat tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain.

“Mengapa saya tidak membuat apa-apa ulasan? Mereka yang mengenali saya sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan enam tahun lalu, pasti faham akan sikap saya.

“Apabila Imam al-Syafie ditanya berkenaan suatu perkara, adakalanya beliau diam sejenak dan berfikir.

“Hal ini bukan sahaja menggambarkan kebijaksanaan Imam al-Syafie dalam berfatwa, bahkan seni komunikasi ini juga boleh diterima pakai dalam apa jua keadaan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sekarang, sepatah jawapan sahaja sudah boleh diandaikan kepada 1001 kefahaman.

Menurutnya, beliau juga mengelak menjawab soalan berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakannya dengan orang lain.

“Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya. Inilah antara pesan guru saya, Syeikh Al-‘Allamah Dr Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti.

“Saya mengambil kecaknaan sebarang bentuk nasihat dan cadangan dari semua pihak terutamanya Ashab al-Samahah para Mufti, cendekiawan Islam dan sesiapa sahaja.

“Nasihat itu akan saya semat pada hati sanubari ini dan cuba mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikannya. Terima kasih semua,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar masyarakat saling nasihat-menasihati dan beliau sedia mendengar mengikut kapasiti dan kemampuannya dalam melaksanakan amanah diberikan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!