Hamba ALLAH bantu Nursahira bayar denda

Foto kiriman Muhammad Azlan di Facebook miliknya.
Foto kiriman Muhammad Azlan di Facebook miliknya.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pembantu kedai yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana memuat naik status menghina polis di media sosial baru-baru ini, menerima bantuan daripada seorang individu yang tampil membayar denda dan memohon ikat jamin.

Nursahira Mohd Mizuar, 20, dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia kemudiannya dikatakan gagal membayar denda berkenaan lalu dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara selama lima bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembantu kedai dipenjara 3 bulan, denda RM10,000 hina polis

Bagaimanapun, Nursahira bagaikan diberi peluang kedua apabila hadir seorang hamba ALLAH bernama Muhammad Azlan Al-Amin untuk membayar denda dan memohon ikat jamin.

Perkara itu dikongsikan oleh Muhammad Azlan melalui Facebook miliknya semalam dan ia kini tular di media sosial.

Difahamkan, beliau sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membayar denda RM10,000 tersebut agar Nursahira dapat dibebaskan.

“Bersama mak dan ayah Nursahira di Mahkamah Alor Star, Kedah. Mereka hanya menangis lihat saya. Mereka cakap tiada apa yang boleh diberi. Saya kata saya hanya mahu doa,” tulisnya di laman Facebook miliknya beberapa jam yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama komen netizen turut membanjiri ruangan kiriman Muhammad Azlan dan rata-ratanya menyokong niat murni beliau.

“Semoga ALLAH permudahkan urusan tuan,” komen pengguna Facebook Norfaezah Omar.

“Kita tidak sempurna. Setiap orang ada melakukan kesilapan. Kita jangan mudah menghukum dan menghina,” kata Rosy Rose.

Semoga apa yang berlaku dijadikan iktibar dan tindakan mulia hamba ALLAH ini dijadikan contoh teladan buat semua orang.