Bergelar OKU tidak halang turut membantu

Saiful (Kanan) bersama Mohd Zukhairy.
Saiful (Kanan) bersama Mohd Zukhairy.
A
A
A

TEMERLOH - Kesungguhan seorang pekerja pembersihan orang kurang upaya (OKU) menderma untuk Tabung Sumbangan Dana Covid-19 Masjid Temerloh Jaya menarik perhatian ahli jawatankuasa masjid itu untuk berkongsi di Facebook mereka.

AJK Unit Publisiti dan Komunikasi Korporat Masjid TJ, Saiful Afendi Ismail memberitahu, dia berkongsi keikhlasan Mohd Zulkhairy Zulkefle, 33, dari Taman Temerloh Jaya itu di laman sosial itu kerana terharu dengan tindakannya.

"Sebenarnya dia antara penerima wajib jika ada sebarang bantuan masjid namun apabila dia mengetahui usaha untuk membantu penduduk setempat yang terjejas, dia terus menghulurkan sumbangan nilai yang besar untuk tabung ini.

"Terharu dengan kesungguhan dan niat murninya menyebabkan kita berkongsi kisah mengenainya dan membuktikan kekurangan dimiliki bukan penghalang untuk turut sama membantu orang lain," jelasnya.

Kekurangan dimiliki tidak menghalang Mohd Zukhairy menyumbang untuk Tabung Masjid Temerloh Jaya.
Kekurangan dimiliki tidak menghalang Mohd Zukhairy menyumbang untuk Tabung Masjid Temerloh Jaya.

Sementara itu Mohd Zulkhairy berkata, mahu membantu mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bapa kepada dua cahaya mata berusia empat bulan dan tujuh tahun itu memberitahu, dia tergerak hati untuk menyumbang kerana tersentuh dengan keperitan yang dialami golongan kurang berkemampuan yang berdepan kesulitan sepanjang PKP.

Menurutnya, dia ikhlas dan niat tersebut turut mendapat sokongan isterinya, Nur Akmar Nazillah Mohammad, 33, yang juga mengalami masalah pekak sama sepertinya.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat gembira kerana dapat menyumbang. Saya harap sumbangan ini dapat membantu mereka yang terjejas dalam musim pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya yang mengalami pekak sejak lahir.

Dalam pada itu, dia komited dan tetap gigih menjalankan tugasnya yang perlu dilaksanakan sepanjang PKP.

"Sepanjang pandemik ini saya menjalankan tugas seperti biasa dan tidak pernah rasa terganggu untuk bekerja, cuma kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan virus ini terus merebak," katanya.