[VIDEO] Nina takluk dunia haiwan 'rare'
KUALA LUMPUR - Pernah berdepan insiden tidak menyenangkan dengan ular sawa ketika berusia tujuh tahun apabila reptilia itu tiba-tiba berenang menghampirinya.
Namun, tiada siapa menyangka trauma sedemikian mengubah wanita kecil molek itu menjadi berani dan berjaya mengatasi ketakutan secara berperingkat sehingga membawanya ke dalam dunia perniagaan serta penjagaan haiwan eksotik.
Pemilik Brotherhood Reptiles, Nur Nina Farisha Woo Abdullah berkata, dia membuka premis fizikal pada 2018 atas dasar minat mendalam terhadap haiwan peliharaan rare dan unik itu.
Antaranya ular sawa batik, 'ball phyton snake', 'egg eater snake', kura-kura sulcata, 'sailfin dragon', rubah spesies 'marble fox', alpaca, 'patagonian mara', katak 'pacman', labah-labah tarantula, sesumpah dan banyak lagi.
"Kebanyakan haiwan peliharaan ini diimport dari Amerika Syarikat (AS) dan Afrika contohnya 'ball phyton snake', 'egg eater snake', kura-kura sulcata serta lain-lain spesies.
"Ini kerana di dua negara ini, ia dibiakkan secara besar-besaran. Jadi, pembekal boleh menawarkan harga lebih baik dari negara di rantau Asia atau Eropah," katanya ketika ditemui Sinar Ahad di sini baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, ada antaranya diimport dari Thailand dan Indonesia.

Mesra dipanggil Nina, dia bagaimanapun memberitahu bahawa proses mengimport haiwan langka itu bukan mudah sepertimana disangka.
Ini kerana menurutnya, pengusaha wajib mendapatkan permit eksport daripada pembekal termasuk permit import daripada agensi di Malaysia, antaranya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta kelulusan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Flora and Fauna (CITES).
Keberanian wanita berusia 29 tahun itu mengendalikan haiwan eksotik menerusi penstriman langsung di Facebook, TikTok dan YouTube mengundang perhatian warga maya.
Tidak kurang juga memujinya sekali gus ingin tahu bagaimana wanita terbabit menceburi bidang yang jarang sekali dipelopori kaum Hawa.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu berkata, segalanya tercetus selepas dirinya menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan mula menerbitkan video berunsur edukasi sekitar 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung akibat pandemik Covid-19.
"Saya banyak masa terluang untuk buat video tentang penjagaan haiwan eksotik dan mula mendapat sambutan ramai pada 2022 sehingga ke hari ini.
"Permintaan juga meningkat setiap tahun, seiring dengan kesedaran dan pendedahan masyarakat terhadap kepelbagaian haiwan eksotik ini. Alhamdulillah, pelanggan saya bukan sahaja rakyat biasa, malah kerabat diraja pernah membeli haiwan peliharaan di Brotherhood Reptiles.
"Paling tinggi pesanan diterima adalah ketika PKP kerana rakyat bekerja dari rumah dan banyak masa lapang, jadi mereka beli haiwan untuk dijadikan teman di rumah," ujarnya.
Ditanya mengenai sudut pandang orang awam yang sering melabel spesies eksotik sebagai haiwan berbahaya, Nina menyuarakan pendapat bernas dan realistik.

Bagi Nina, majoritinya tidak 'berbahaya' secara semula jadi, cuma ia haiwan peliharaan yang kurang difahami dek tafsiran negatif masyarakat.
"Melalui video pendidikan yang kami kongsikan, saya berharap orang awam dapat melihat sisi sebenar haiwan ini dalam konteks bagaimana ia hidup, tingkah laku dan cara penjagaan terbaik.
"Apabila kita faham cara mengendalikannya, rasa takut itu secara automatik berkurang dan digantikan dengan rasa hormat.
"Jangan terlalu cepat menghukum sesuatu yang belum kita kenali. Dengan ilmu, pendedahan dan pendekatan yang betul, sebenarnya banyak spesies eksotik boleh dijadikan haiwan peliharaan," jelasnya lagi.
Menutup ruang temu bual, Nina turut memasang visi iaitu Brotherhood Reptiles sebagai salah satu pusat rujukan utama yang memberikan kesedaran, pendidikan dan pendedahan tentang spesies eksotik sebagai haiwan peliharaan.
"Dalam 10 tahun akan datang pula, kami ingin membawa Brotherhood Reptiles ke peringkat lebih besar, termasuk menjadi hab eksotik yang diiktiraf di pasaran Asia.
"Kami mahu ubah industri ini menjadi lebih profesional, beretika dan berasaskan ilmu di samping melahirkan ramai individu yang berpengetahuan dalam penjagaan haiwan eksotik," jelas Nina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
