Kajian UPM buktikan warden sepenuh masa MRSM berkesan - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terbukti berkesan berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dapatan kajian yang dilaksanakan selama sembilan bulan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau menunjukkan tiada kes buli direkodkan sepanjang tempoh tersebut, selain peningkatan ketara dalam disiplin pelajar.
Menurutnya, pelaksanaan projek rintis itu turut memperlihatkan pemantauan lebih konsisten dan tindak balas lebih pantas terhadap isu kebajikan serta keselamatan pelajar, sekali gus mewujudkan suasana asrama yang lebih selamat, kemas dan kondusif.
"Pendekatan itu juga memberi kesan positif kepada guru yang kini tidak lagi terbeban dengan tugas warden, sebaliknya fokus kepada tugas hakiki mengajar dan mendidik pelajar.
"Selain itu, pencapaian akademik pelajar turut menunjukkan peningkatan, manakala maklum balas yang diterima daripada pelajar juga amat positif hasil tinjauan dan lawatan lapangan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, kesemua 58 MRSM dilaporkan bakal menerima warden sepenuh masa yang dilantik dalam kalangan bekas anggota beruniform bermula tahun depan.
Pada April tahun lalu, Sinar Harian melaporkan inisiatif melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa MRSM diambil bertujuan memastikan isu buli serta kes disiplin lain dapat dikekang.
Tambah Asyraf Wajdi, antara kekuatan utama warden dalam kalangan bekas tentera termasuk pengalaman dalam aspek disiplin dan keselamatan, tahap fizikal serta kesihatan yang baik, selain ketegasan yang disertai pendekatan berhemah.
Menurutnya lagi, mereka juga mampu bertindak pantas dalam situasi berisiko serta memiliki empati, kemahiran komunikasi yang baik dan keprihatinan tinggi terhadap pelajar.
"Gabungan elemen ketegasan dan nilai keibubapaan itu menjadikan mereka bukan sekadar warden, tetapi pembimbing dan pendidik kepada pelajar di asrama," ujarnya.
Justeru, Asyraf Wajdi memaklumkan MARA menetapkan peluasan inisiatif berkenaan ke 10 lagi MRSM bermula Jun depan sebagai langkah awal, sebelum diperluas ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan pendekatan tersebut mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan.
Tambahnya, pasukan UPM yang diketuai Profesor Dr Haslinda telah diminta membantu membangunkan modul latihan khusus kepada warden yang bakal dilantik.
Jelasnya, modul tersebut akan memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek disiplin dan keselamatan, tetapi juga pembentukan nilai kemanusiaan, empati serta keibubapaan selaras dengan Falsafah Pendidikan MARA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

