33 lelaki yang didenda merusuh pusat hiburan tercengang dipenjara 10 bulan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seramai 33 lelaki yang sebelum ini dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, tercengang apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menambah hukuman penjara selama 10 bulan kerana merusuh, memiliki pelbagai senjata dan bahan letupan.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah sebelum ini.
“Mahkamah menambah hukuman penjara berkenaan dan mengekalkan hukuman denda terhadap semua responden.
“Mereka diperintah menjalani hukuman penjara bermula hari ini,” kata hakim kepada semua responden berusia antara 21 hingga 57 tahun termasuk dua individu berusia 19 tahun..
Mereka ialah Tan Chee Chin, G Bathmanathan, M Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Turut dihukum penjara, Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung serta dua tertuduh berusia 19 tahun, Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng.
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, A Ganesan dikenakan waran tangkap tanpa jaminan kerana gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding semakan hukuman tersebut.
Semasa prosiding, pendakwaan selaku pemohon dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail mencadangkan semua responden dikenakan hukuman lebih berat.
Menurutnya, denda yang dikenakan mahkamah rendah sebelum ini tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
“Rusuhan berkenaan tular di media sosial, kerana responden telah menggunakan lori dan memegang senjata sedangkan rusuhan boleh mengancam nyawa, terutama membabitkan jumlah tertuduh yang ramai.
“Bagi pesalah muda, mereka telah mencecah usia 19 tahun, maka saya percaya mereka sudah matang sekali gus mampu menilai baik dan buruk perbuatan yang dilakukan,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, dua pesalah terbabit wajar dikenakan hukuman sebagaimana tertuduh dewasa lain.
Beliau memohon mahkamah menggunakan kuasa dan budi bicara di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk menyemak semula hukuman tersebut.
Bagaimanapun, peguam, Damien Chan yang mewakili semua responden berkata, anak guam hanya menyebabkan kerosakan harta benda dan tidak mencederakan mana-mana individu.
“Saya dimaklumkan, anak guam berada di kawasan terbabit kerana berlaku pertikaian persaingan perniagaan pusat hiburan di kawasan berkenaan.
“Mereka juga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan bersedia untuk membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut,” katanya yang hadir bersama peguam, Ian Hannibal Liang, Ng Choon Kiat dan Ahmad Nur Zharif Rosdi.
Selain itu, Damien berkata, terdapat rundingan berhubung pampasan ganti rugi di atas kerugian yang dihadapi.
Pada 10 April lalu, media melaporkan seramai 32 lelaki yang tular dalam insiden rusuhan membabitkan sebuah lori yang merempuh pagar sebuah pusat hiburan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh dan memiliki pelbagai senjata di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.
Sementara dua lagi tertuduh berusia 19 tahun didenda RM2,000 atau penjara selama tiga bulan bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, peluru, bahan letupan atau bahan lecur, kayu dan batu yang boleh mencederakan serta boleh digunakan untuk menyerang.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Cheras jam 7.30 petang pada 5 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pesaing perniagaan serta dendam, dengan kumpulan berkenaan disyaki direkrut oleh sebuah kongsi gelap.
Beliau berkata, kumpulan terbabit bertindak memecah masuk premis menggunakan lori dengan melanggar pagar sebelum merosakkan bahagian hadapan dan lobi premis menggunakan senjata seperti kayu besbol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
